HASIL kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama lima bulan sejak November lalu telah membawa kepada penyitaan sebanyak 153 kenderaan ‘diklon’ – kenderaan yang menggunakan cukai jalan palsu dan tidak berdaftar secara sah di JPJ. Kesemua kenderaan itu termasuk dua buah motosikal kuasa tinggi disita di pelbagai lokasi di Negeri Terengganu. Kenderaan yang disita ini antara lain terdiri daripada BMW, Lexus, Mercedes Benz, Honda, Toyota, Subaru, Mitsubishi, Mazda, Nissan, Mini Cooper, Volkswagen dan Volvo yang dipercayai diseludup dari negara jiran. Nilai keseluruhan kenderaan-kenderaan ini dianggarkan lebih RM13 juta. Tindakan menyeludup kenderaan-kenderaan ini dipercayai telah membawa kerugian kepada kerajaan dalam bentuk cukai iaitu lebih RM7 juta (jika mengambil kira setiap kereta perlu membayar cukai purata RM50,000). Kesemua kenderaan tersebut telah dikategorikan sebagai kenderaan lusuh di negara asal dan dijual antara RM20,000 hingga RM50,000 di Malaysia. Bermakna kenderaan ini tiga kali lebih murah daripada harga pasaran. Kenderaan-kenderaan ini dilarang diimport tanpa kebenaran khas ke negara ini kecuali dalam bentuk alat ganti terpakai. Kenderaan-kenderaan ini telah diseludup dan diklonkan dengan menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengan kenderaan asal di Malaysia. Yang membezakan hanyalah nombor chasis dan nombor enjin. Pemeriksaan SPRM dan JPJ mendapati kenderaan-kenderaan yang diseludup masuk ini menggunakan sama ada nombor plaf pendaftaran kenderaan yang masih aktif dan sah di jalan raya atau menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang telah dikategorikan sebagai ‘total loss’. Kenderaan klon ini mengakibatkan wujudnya dua atau tiga kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran yang sama. Sindiket menggunakan model pemasaran atas talian, khususnya Facebook untuk menarik pelanggan masing-masing di mana pembelian adalah secara tunai. Hasil daripada intipan dan risikan, SPRM telah menangkap tiga individu, warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 20-an, dipercayai bertindak sebagai orang tengah. Ketiga-tiga individu ini telah ditahan reman antara empat hingga tujuh hari bagi membantu siasatan sejak 8 April 2015. JPJ dan SPRM masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu-individu lain. Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak setahun lalu. Malah, JPJ dan SPRM percaya masalah yang sama wujud di negeri-negeri lain. Minggu lalu, SPRM Negeri Sembilan telah menahan tujuh orang di Seremban dan Johor Bharu, dan merampas 14 kenderaan. SPRM dan JPJ memohon pemilik kenderaan lusuh atau klon supaya menyerahkan secara sukarela kenderaan dalam milikan mereka kepada SPRM atau JPJ yang berhampiran. Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya gagal berbuat demikian. Siasatan ini dijalankan ini menjurus kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Kanun Keseksaan serta Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2013). Pembeli dan pemilik kenderaan-kenderaan ini boleh didakwa bersubahat dalam proses pengeluaran dokumen palsu. Pemilikan kenderaan ini adalah berbahaya kerana tiada perlindungan insurans jika berlaku kemalangan. Selain itu, jika berlaku kesalahan trafik atau jenayah akan mengakibatkan penganiayaan kepada pemilik yang sah. SPRM dan JPJ sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti jika wujud pembabitan orang dalam JPJ dalam isu ini. JPJ juga memberi jaminan tidak akan berkompromi jika wujud pegawai dalam agensi itu dan akan bekerjasama dengan SPRM untuk mengambil tindakan ke atas mereka. DATUK SERI ISMAIL AHMAD
KETUA PENGARAH
JABATAN PENGANGKUTAN JALAN (JPJ)
DATUK AZAM BAKI
PENGARAH BAHAGIAN PERISIKAN
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
KUALA LUMPUR
21 APRIL 2015

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
2
Semalam
47
Minggu Ini
318
Bulan Ini
918

Keseluruhan
3432081