Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir ditubuhkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan syor Majlis Keselamatan Negara pada 12 Januari 2015 untuk menyiasat kemungkinan aduan berkaitan salah laku dan penyelewengan bantuan banjir yang melanda negara akhir tahun 2014. Selain SPRM, Jawatankuasa ini dianggotai oleh Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini kali pertama Jawatankuasa sedemikian dibentuk bagi mengelakkan tuntutan palsu dan penyelewengan. Bagi memastikan pengurusan dana dan tabung banjir ini dikendalikan dengan telus dan teratur serta bebas daripada penyelewengan dan salah laku, satu Bilik Gerakan telah dibuka dan beroperasi di Pejabat SPRM Kelantan sejak 13 Januari 2015. Terma rujukan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir ini adalah:

  1. Sebagai satu saluran bagi masyarakat melaporkan sebarang aduan mengenai salah laku pengurusan bantuan kepada mangsa banjir;
  2. Membantu Kerajaan dalam memastikan pengurusan tabung dan dana yang telus dan teratur serta sampai kepada mangsa-mangsa banjir;
  3. Mengkaji dan mencadangkan penambahbaikan integriti sistem penyampaian dan pengurusan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir; dan
  4. Mempertingkatkan kesedaran pengurusan integriti dalam penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir

Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir telah menerima sebanyak 286 panggilan sehingga 9 Mei 2015 (semalam). Daripada jumlah tersebut, sebanyak 39 panggilan adalah aduan berkaitan rasuah dan penyelewengan dana. Tindakan-tindakan telah diambil mengikut Akta SPRM 2009. Setakat ini antara isu dan masalah yang dikenal pasti oleh Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir ialah:

  1. Pendaftaran nama mangsa banjir tidak lengkap
  2. Syarat permohonan yang tidak jelas mengelirukan pemohon. Contoh permohonan penduduk tetap, had umur permohonan, status pemohon yang tinggal sebumbung dengan ahli keluarga yang lain, takrifan ketua keluarga
  3. Kekeliruan mengenai penyelarasan dan pengagihan sumbangan NGO dan peruntukan kerajaan

Peranan Jawatankuasa ini telah membantu menyelamatkan dana banjir daripada dituntut atau diterima oleh mangsa-mangsa yang tidak layak. Jumlah keseluruhan sebenar dana yang berjaya dapat diselamatkan masih belum dapat dimuktamadkan memandangkan pengagihan masih lagi berjalan. Bagaimanapun setakat ini, seramai 100 mangsa banjir di Kelantan tidak mengambil wang ihsan RM500 apabila mangsa diminta mengisi borang ikrar yang disediakan oleh SPRM mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Masih terdapat beberapa kelemahan yang dikenal pasti dalam urusan sistem dan prosedur berhubung dengan pengagihan bantuan wang ihsan banjir. Sehubungan itu, SPRM bersama-sama dengan jabatan dan agensi berkaitan akan mewujudkan dan menambah baik garis panduan berkaitan pengurusan dana terbabit selain mengadakan pangkalan data mengenai butiran penduduk setempat. Dengan adanya penambahbaikan sistem berkenaan juga, sudah pasti ia boleh digunakan oleh kerajaan bagi tujuan pengagihan dana dan tabung lain pada masa akan datang, termasuk sekiranya berlaku bencana serta tujuan-tujuan lain. SPRM juga mendapati peranan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir telah membantu meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai khususnya mangsa banjir tentang pentingnya budaya berintegriti. Ini penting dari segi impak jangka panjang. Selepas empat bulan berfungsi, SPRM, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Audit Negara memutuskan untuk menamatkan operasi Bilik Gerakan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir. Meskipun operasi Bilik Gerakan berakhir mulai hari ini, aduan atau maklumat daripada orang ramai akan terus diterima. Orang ramai boleh menghubungi mana-mana Pejabat SPRM terdekat jika membabitkan elemen rasuah atau penyelewengan, dan juga mana-mana Pejabat Majlis Keselamatan Negara terdekat berhubung soal dan urusan pengagihan dana banjir. SPRM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama khususnya Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan serta Kerajaan-kerajaan Negeri, yang telah membantu melancarkan perjalanan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir. Pada hari ini, saya telah membentangkan impak jawatankuasa ini kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Kelantan. Peranan mereka dalam menjelaskan mengenai risiko membuat tuntutan palsu telah banyak membantu Jawatankuasa ini. Selain Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abdul Aziz Aban, wakil Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan juga hadir pada majlis hari ini.
DATUK MUSTAFAR ALI
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (PENCEGAHAN) SPRM
PENYELARAS JAWATANKUASA PENGURUSAN TABUNG DAN DANA BANJIR
10 MEI 2015

Lampiran Tarikh
Integriti Pengurusan Dana Banjir: 286 Panggilan Diterima, SPRM Kemuka Syor Baiki Sistem Agihan Wang Ihsan 10/05/2015
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
34
Semalam
53
Minggu Ini
182
Bulan Ini
591

Keseluruhan
3430214