1. Ops Gergaji, satu operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan rasuah, pembalakan dan penebangan hutan secara haram di Sarawak serta perbuatan mengelak cukai kepada kerajaan oleh pemilik syarikat-syarikat pembalakan di Sarawak telah diadakan pada hari ini (12 Mei 2015) mulai jam 9.30 pagi. 2. Operasi bersepadu yang melibatkan sekurang-kurangnya 400 orang pegawai dan anggota dari Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak ini diketuai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia termasuklah Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. 3. Serbuan telah dilakukan secara serentak ke atas 48 lokasi yang disyaki berlakunya perbuatan rasuah, aktiviti pembalakan dan penebangan hutan secara haram serta perbuatan mengelak cukai kepada kerajaan oleh pemilik syarikat-syarikat pembalakan dan kilang papan di Sarawak. Serbuan ini adalah hasil daripada siasatan yang terperinci dan menyeluruh berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh oleh SPRM bersama agensi-agensi yang terlibat. 4. Daripada 48 lokasi yang diserbu itu, 27 adalah kilang papan dan logponds, selebihnya adalah premis-premis perniagaan yang terletak di enam (6) kawasan seperti yang berikut:-

BIL KAWASAN BILANGAN
1 Miri  13
2 Kuching 12
3 Sibu 12
4 Bintulu 6
5 Bakun 3
6 Kapit 2
  JUMLAH 48

 

5. Taburan lokasi-lokasi yang diserbu adalah seperti dalam lampiran yang disertakan. 6. Hasil serbuan setakat ini, sebanyak 375 akaun syarikat-syarikat dan individu bernilai lebih RM560 juta telah dibekukan. Dalam pada itu, sebanyak lebih 500 batang kayu balak juga telah disita oleh pihak SPRM. Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah seksyen 17(a) dan 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. 7. Operasi bersepadu ini membuktikan komitmen padu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memerangi kegiatan rasuah di dalam sektor pembalakan di samping membendung aktiviti pembalakan dan penebangan hutan secara haram yang berleluasa di Sarawak. Adalah dipercayai bahawa perbuatan ini ini telah mengakibatkan kerugian sebanyak berbilion ringgit kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak. Langkah ini juga bertujuan melindungi khazanah alam sekitar Negeri Sarawak. 8. Kejayaan Ops Gergaji ini adalah hasil kerjasama yang erat anggota dan pegawai SPRM, Kerajaan Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. DATO’ MOHAMAD JAMIDAN BIN ABDULLAH
PENGARAH BAHAGIAN SIASATAN
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
12 MEI 2015

Lampiran Tarikh
Ops Gergaji Bersepadu Serbu 48 Lokasi Di Sarawak, Bekukan Akaun Syarikat Lebih RM560 Juta 12/05/2015
   

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
22
Semalam
47
Minggu Ini
22
Bulan Ini
776

Keseluruhan
3430399