1. Operasi bersepadu Ops Gergaji yang dilancarkan semalam (12 Mei 2015) masih giat diteruskan. Setakat hari ini, sebanyak 49 lokasi telah diserbu, termasuk tambahan satu lokasi iaitu di Bakun, pada hari ini. 2. Seramai 10 orang individu juga telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung perbuatan rasuah, aktiviti pembalakan dan penebangan hutan secara haram serta perbuatan mengelak cukai kepada kerajaan oleh pemilik syarikat-syarikat pembalakan dan kilang papan di Sarawak. Mereka yang diambil keterangan ini terdiri daripada pemilik kilang papan dan penyelia kilang. 3. Tiga puluh lagi akaun syarikat-syarikat dan individu termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah dibekukan menjadikan jumlah keseluruhan akaun yang telah dibekukan setakat ini ialah sebanyak RM600 juta. Dalam pada itu, hampir 1,200 lagi batang kayu balak juga telah disita termasuk 600 batang di kawasan Belaga, Bakun oleh pihak SPRM. Semalam 500 batang balak disita. Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah seksyen 17(a) dan 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. 4. Ops Gergaji ini adalah merupakan satu operasi bersepadu terbesar yang pernah dijalankan oleh SPRM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia termasuklah Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Operasi yang melibatkan kerahan lebih 400 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi ini adalah satu operasi yang sangat mencabar kerana ia melibatkan serbuan di kawasan-kawasan pendalaman yang tidak mempunyai akses masuk kecuali dengan menggunakan helikopter dan bot. 5. Ops Gergaji ini akan diteruskan dengan lebih menyeluruh bagi membanteras kegiatan rasuah serta pembalakan dan penebangan hutan secara haram di Sarawak.
DATO’ MOHAMAD JAMIDAN BIN ABDULLAH
PENGARAH BAHAGIAN SIASATAN
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
13 MEI 2015

Lampiran Tarikh
Ops Gergaji : 1,200 Batang Kayu Balak Lagi Disita 13/05/2015
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
50
Semalam
47
Minggu Ini
145
Bulan Ini
554

Keseluruhan
3430177