1. Satu operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan rasuah, penyelewengan diesel bersubsidi dan penyeludupan rokok dan arak di Sabah telah dilancarkan pada hari ini (15 Mei 2015). 2. Operasi bersepadu, yang melibatkan sekurang-kurangnya 420 orang pegawai dan anggota ini, diketuai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Pasukan Gerakan Am, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia. 2. Serbuan telah dilakukan secara serentak ke atas 43 lokasi di Tawau, Sandakan, Keningau, Kota Kinabalu, Labuan dan Semporna, yang disyaki berlakunya perbuatan rasuah, aktiviti penyeludupan rokok dan arak, dan penyelewengan diesel bersubsidi, serta perbuatan mengelak cukai kepada kerajaan. Serbuan ini adalah hasil daripada siasatan yang terperinci dan menyeluruh berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh oleh SPRM bersama agensi-agensi yang terlibat. 3. Hasil serbuan ini, sebanyak 1,623 akaun syarikat-syarikat dan individu bernilai RM560 juta telah dibekukan. Dalam pada itu, wang tunai barang kemas bernilai lebih RM1 juta juga dirampas oleh SPRM. 4. Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah seksyen 17(a) dan 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. 5. Adalah dipercayai bahawa perlakuan rasuah ini telah mengakibatkan kerugian sebanyak berbilion ringgit kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah. 6. Kejayaan operasi ini adalah hasil kerjasama yang erat anggota dan pegawai SPRM, pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Pasukan Gerakan Am, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia. 7. Pada 12 Mei 2015, SPRM dengan kerjasama beberapa agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri telah melancarkan serbuan ke atas 49 lokasi di seluruh Sarawak bagi membanteras kegiatan rasuah, pembalakan dan penebangan hutan secara haram di Sarawak serta perbuatan mengelak cukai kepada kerajaan oleh pemilik syarikat-syarikat pembalakan di Sarawak. Operasi yang dinamakan sebagai "Ops Gergaji" itu telah membekukan sebanyak 519 akaun syarikat dan individu bernilai hampir RM700 juta. DATO’ MOHAMAD JAMIDAN BIN ABDULLAH
PENGARAH BAHAGIAN SIASATAN SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
15 MEI 2015 Untuk maklumat lanjut, sila hubungi KPKPj Rohaizad Yaakob, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (019-3522777) atau Dr G Manimaran (012-3081355)

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
48
Semalam
47
Minggu Ini
143
Bulan Ini
552

Keseluruhan
3430175