MERUJUK kepada kenyataan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Cheing Jen dan ADUN Likas, Junz Wong semalam, yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyalah guna kuasanya dengan membekukan akaun-akaun bank dalam Ops Gergaji dan Ops BS, ingin ditegaskan bahawa SPRM sebagai sebuah badan profesional, mengambil tindakan ini mengikut peruntukan undang-undang. SPRM menafikan dakwaan bahawa tindakan membekukan akaun dibuat tanpa asas yang kukuh sedangkan SPRM telah membuat pemantauan selama enam bulan sebelum operasi bersepadu dilakukan. Akaun-akaun terbabit hanya dibekukan susulan maklumat perisikan dan hasil siasatan mendalam yang telah dijalankan. Ingin ditegaskan bahawa Ops Gergaji adalah satu operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak, yang diadakan bagi membanteras kegiatan rasuah, pembalakan dan penebangan hutan secara haram di Sarawak serta perbuatan mengelak cukai kepada kerajaan oleh pemilik syarikat-syarikat pembalakan di Sarawak. Begitu juga operasi bersepadu Ops BS di Sabah yang diadakan bagi membanteras perlakuan rasuah, penyelewengan minyak bersubsidi dan penyeludupan rokok dan arak. Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah seksyen 17(a) dan 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Oleh itu, langkah membekukan akaun-akaun adalah sebahagian daripada proses siasatan oleh SPRM bagi membantu siasatan SPRM, dan juga agensi-agensi lain yang berkaitan. Sebagaimana telah saya jelaskan pada 15 Mei 2015, akaun-akaun yang dibekukan akan diberi pelepasan sebahagian sekiranya ada justifikasi yang munasabah. Perkara ini merupakan amalan normal SPRM dan juga mana-mana agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Mana-mana pemegang akaun yang telah dibekukan akaun mereka boleh memaklumkan kepada SPRM untuk akaun mereka dilepaskan sebahagian bagi pembayaran perbelanjaan operasi seperti gaji dan perkara-perkara lain yang penting, di mana ia akan dibuat seberapa segera. SPRM sedia memberi pertimbangan dengan syarat ada justifikasi yang munasabah. Mereka boleh datang ke Pejabat SPRM Sarawak, Sabah ataupun ke Ibu Pejabat di Putrajaya. Bagaimanapun pelepasan keseluruhan akaun bergantung kepada hasil siasatan. Sejak 18 Mei 2015, SPRM telah menerima permohonan daripada sejumlah pemilik akaun terbabit dan tindakan sewajarnya telah diambil termasuk dilepaskan sebahagian wang yang dibekukan. Pada masa yang sama, SPRM Sarawak dan Sabah juga telah mengadakan 'engagement' dengan persatuan-persatuan yang mewakili industri bagi menjelaskan rasional tindakan pembekuan akaun dan langkah yang boleh diambil ahli mereka yang terbabit dengan pembekuan akaun. SPRM berpandangan bahawa selaku anggota penggubal perundangan adalah tidak adil untuk mendakwa SPRM menyalah guna kuasa yang diberikan. SPRM hanya menjalankan tanggungjawab yang diberikan mengikut lunas perundangan demi kepentingan rakyat dan negara. Dalam hal ini, selaku agensi pencegahan rasuah, SPRM sedia mendengar pandangan orang ramai dengan mengambil kira aspek kemanusiaan termasuk sambutan perayaan Gawai di Sarawak dan pembangunan ekonomi negeri Sarawak dan Sabah. DATO' SRI MOHD SHUKRI ABDULL
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
22 MEI 2015

Lampiran Tarikh
Pelepasan Jika Ada Justifikasi 22/05/2015
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
29
Semalam
48
Minggu Ini
342
Bulan Ini
390

Keseluruhan
3430013