SEORANG pengarah syarikat perladangan di Cameron Highlands dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Rasuah Khas Shah Alam, Selangor atas enam pertuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram - keseluruhan nilai lebih RM3 juta, yang dilakukannya kira-kira lapan tahun lalu. Tertuduh merupakan individu kedua berhadapan dengan pertuduhan berkaitan dana penjualan tanah pertanian di Cameron Highlands. Pada 22 Mac 2015, Pannirselvam Subramaniam, 61, mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan semasa didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak. Summugam S. Ramasamy, 61, pengarah Blue Valley Plantation Sdn Bhd menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes ini susulan aduan sekumpulan 24 individu yang percaya wujud elemen penyelewengan dana hasil penjualan tanah milik mereka di Blue Valley Plantation, Cameron Highlands pada tahun 2012. * Di bawah tuduhan pertama mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, tertuduh selaku pengarah Blue Valley Plantation telah melakukan kesalahan pecah amanah jenayah di mana dengan curangnya telah menunaikan satu cek bernilai RM200,000 pada 30 Mei 2008 di RHB Bank Berhad, Cawangan Persiaran Sultan Ibrahim, Klang, dan tidak memasukkan ke dalam akaun syarikat, tanpa pengetahuan dan kelulusan ahli Lembaga Pengarah Blue Valley Plantation. * Di bawah tuduhan kedua mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan pecah amanah jenayah di mana dengan curangnya telah memasukkan satu cek bernilai RM2.8 juta ke dalam akaun sendiri tanpa pengetahuan dan kelulusan ahli Lembaga Pengarah Blue Valley Plantation, di Maybank Cawangan Seksyen 14 Shah Alam, Selangor pada 2 Jun 2008. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan hukuman denda. Summugam juga berhadapan dengan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. * Mengikut pertuduhan pertama di bawah seksyen itu, dia dituduh terlibat dalam amalan pengubahan wang haram iaitu mengeluarkan wang sebanyak RM200,000 secara tunai melalui cek RHB Bank Berhad milik Tan Choon Kiat dan Lee Seng Teck di mana jumlah tersebut merupakan hasil daripada aktiviti haram. * Mengikut pertuduhan kedua di bawah seksyen itu, dia dituduh terlibat dalam amalan pengubahan wang haram iaitu mendepositkan cek RHB Bank Berhad bernilai RM2,800,000 milik Tan Choon Kiat dan Lee Seng Teck ke dalam akaunnya pada 2 Jun 2008 di Maybank Berhad Cawangan Seksyen 14 Shah Alam, di mana jumlah tersebut merupakan hasil daripada aktiviti haram. * Mengikut pertuduhan ketiga, juga di bawah seksyen itu, dia dituduh terlibat dalam amalan pengubahan wang haram iaitu mengeluarkan wang sebanyak RM249,235.82 secara tunai melalui cek Alliance Islamic Bank Berhad, milik firma guaman Seah, Balan, Ravi & Co, di mana jumlah tersebut merupakan hasil daripada aktiviti haram. Jika ketiga-tiga tuduhan itu disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan kes bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail. Hakim Zamri Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya ditahan. Kes ini akan disebut semula pada 10 Julai 2015.

Lampiran Tarikh
Seorang Lagi Pengarah Blue Valley Plantation Didakwa, Hadapi 6 Tuduhan CBT dan Pengubahan Wang Haram 05/06/2015
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
24
Semalam
54
Minggu Ini
236
Bulan Ini
284

Keseluruhan
3429907