KUALA LUMPUR, 4 Julai 2015 – Sempena bulan Ramadhan tahun ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Asian Finance Bank Berhad (AFBB) menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bagi meraikan lebih 50 penghuni dari Rumah Titian Kaseh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), semalam. Majlis khusus bagi meraikan anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dari Rumah Titian Kaseh, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur itu turut mendapat kerjasama dan sumbangan daripada Syarikat Prasarana Negara Berhad, Petronas, Tabung Haji dan PUSPANITA SPRM. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata Majlis ini bertujuan untuk memupuk kesedaran dan pendekatan nilai-nilai murni dalam diri pegawai dan kakitangan SPRM supaya bersedekah, beramal dan prihatin kepada insan yang kurang bernasib baik. “Mengambil kira ianya merupakan tanggungjawab sosial warga SPRM, mereka yang diraikan hari ini adalah salah satu golongan masyarakat yang perlu didekati bagi merealisasikan pendekatan SPRM untuk lebih dekat dengan setiap lapisan masyarakat. ”Adalah penting untuk menerapkan nilai ini agar dapat merasa dan menjiwai denyut nadi masyarakat dalam memerangi rasuah seterusnya membolehkan usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan secara komprehensif dan holistik”. Majlis turut menyaksikan persembahan nasyid oleh anak-anak penghuni Rumah Titian Kaseh dan seterusnya tazkirah ramadhan yang disampaikan oleh Dato’ Sri Haji Zakaria Bin Haji Jaffar, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM sebagai pengisian rohani kepada tetamu yang hadir sementara menantikan waktu berbuka puasa. Abu Kassim dan Ketua Eksekutif AFBB, Mohamed Azahari Mohamed Kamil turut menyampaikan sumbangan kepada penghuni Rumah Titian Kaseh selepas solat maghrib. Majlis kemudiannya diteruskan dengan solat Isyak dan solat sunat Terawih serta berakhir dengan jamuan moreh. Turut hadir, Dato’ Sri Haji Zakaria Bin Haji Jaffar, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Haji Mustafar Bin Haji Ali Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Razak Bin Idris, Pengerusi Persatuan Pesara BPR/SPRM, Pengarah-pengarah Bahagian, beberapa pegawai integriti bertauliah (CeiO), pegawai-pegawai SPRM dan pegawai-pegawai dari AFBB.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
20
Semalam
48
Minggu Ini
68
Bulan Ini
477

Keseluruhan
3430100