Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Lahad Datu, Sabah memulakan operasi secara rasmi hari ini, yang diyakini akan membantu usaha mencegah rasuah dan meningkatkan budaya berintegriti di kawasan tersebut dengan lebih menyeluruh. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Sri Hj Zakaria Haji Jaffar. Dalam ucapan perasmiannya, Dato' Sri Zakaria berkata, pembukaan pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu dilihat sebagai pemangkin dalam menyebarluaskan peranan dan tanggungjawab SPRM dalam usaha pembanterasan dan pencegahan rasuah di Lahad Datu. "Pembukaan Pejabat ini dapat mendorong semangat dan iltizam untuk warga SPRM Sabah supaya menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan ikhlas serta penuh komitmen menerusi penterjemahan tugas berprestasi yang tinggi," kata beliau. Beliau menambah: "Penubuhan Pejabat ini juga sebahagian daripada proses transformasi SPRM yang telah bermula sejak 2009, yang menyasar untuk mencapai keberhasilan dalam tiga aspek utama." Ketiga-tiga aspek itu ialah pengurusan siasatan yang berkesan, pencegahan dan pendidikan masyarakat yang efektif serta mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM. "Pada masa yang sama, kewujudan Pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu ini juga bertindak sebagai platform kepada penduduk dan masyarakat setempat bagi menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan," katanya ketika memberi ucapan pada majlis pelancaran tersebut. Pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu yang beroperasi dengan sembilan pegawai diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Mayasin Matli. Ia merupakan cawangan ketiga SPRM di Sabah dan yang ke-21 SPRM di seluruh Malaysia. Orang ramai boleh berurusan dengan Pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu di DIV.1 Kuarters No. JKR 10594, Jalan Hap Heng (Hyundai), 91100 Lahad Datu, Sabah atau dengan menghubungi talian 089-868767 atau faks 089-868768. Hadir bersama pada majlis perasmian ialah Pengarah SPRM Negeri Sabah, Dato' Hishamuddin Hashim dan Pegawai Daerah Lahad Datu, Iman Ali. Turut hadir Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan dan Sumber Manusia SPRM, Pauzan Ahmar; Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, Alias Salim serta Pengarah Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan SPRM, Mohd. Kamal Husin.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
36
Semalam
53
Minggu Ini
301
Bulan Ini
349

Keseluruhan
3429972