Susulan pembentangan berkenaan isu Cameron Highlands kepada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Pahang yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Adnan Yaakob, di Kuantan pada 29 Julai 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin isu Cameron Highlands boleh ditangani dengan berkesan dengan penglibatan semua pihak. Dalam satu sesi forum bertajuk Rasuah: Tangisan Cameron Highlands Bersama Penduduk Setempat di Tanah Rata, Cameron Highlands pada 30 Julai 2015 anjuran Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Haji Mustafar Ali berkata, SPRM menyambut baik komitmen yang diperlihatkan oleh Kerajaan Negeri Pahang. Dalam forum itu, Datuk Mustafar turut memberitahu para hadirin mengenai pembentangan susulan kepada Exco Kerajaan Pahang yang mana beliau menggariskan semula syor-syor yang pernah dibentangkan tahun lalu, termasuk beberapa perkara yang baharu dan status pencapaian yang telah dilaksanakan. Syor-syor yang dikemukakan ini merangkumi aspek dasar dan perundangan, sistem dan prosedur kerja, penguatkuasaan, saluran aduan, komunikasi dan pendidikan masyarakat, dan pengiktirafan dan penghargaan. Jelas beliau, Kerajaan Negeri Pahang menyambut baik saranan-saranan yang dikemukakan oleh SPRM dan berterima kasih atas syor yang diberikan. YAB Menteri Besar Pahang memaklumkan sebahagian besar syor yang dikemukakan oleh SPRM telah diambil tindakan manakala sebahagian lagi akan dilaksanakan dalam waktu terdekat. Katanya, Kerajaan Negeri Pahang akan memberi fokus ke atas tiga bidang penting iaitu penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan bagi menangani isu Cameron Highlands. Datuk Mustafar menyeru semua pihak, melibatkan Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, agensi-agensi penguatkuasa, penduduk dan masyarakat luar supaya memainkan peranan masing-masing secara menyeluruh bagi menyelamatkan Cameron Highlands. Malah katanya, komitmen masyarakat daripada segi emosi juga perlu untuk melahirkan rasa cinta pada tempat sendiri seterusnya bertindak bersama-sama menangani isu yang dihadapi sekarang. Forum yang dihadiri kira-kira 80 penduduk setempat itu turut disertai oleh Presiden REACH, R. Ramakrisnan dan wakil Persatuan Pertubuhan Pertanian Cameron Highlands, Wong Seng Yee sebagai ahli panel. Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil dan Pengarah SPRM Perak, Dato’ Nooraziah Abd. Manaf. SURUHANJAYA PERCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
31 JULAI 2015

Lampiran Tarikh
SPRM Temui Exco Kerajaan Negeri Pahang, Yakin Isu Cameron Highlands Boleh Ditangani Dengan Penglibatan Semua Pihak 31/07/2015
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
20
Semalam
48
Minggu Ini
68
Bulan Ini
477

Keseluruhan
3430100