Enam anggota polis yang bertugas di Balai Polis Muadzam Shah, Rompin, Pahang masing-masing berhadapan dengan dua pertuduhan menerima rasuah bernilai sebanyak RM8,000 dan tidak melaporkan kesalahan rasuah, hujung tahun lalu. Kesemua tertuduh tidak mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof dan minta dibicarakan. Kesemua mereka yang berpangkat Konstabel, Lans Koperal dan Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan, hari ini. Jika disabitkan kesalahan masing-masing boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana-mana yang lebih tinggi dan dipenjara sehingga 20 tahun. Kenam-enam mereka berumur dalam lingkungan umur 20-an hingga 50-an. Koperal Mazlan Muhd Nor, 34, menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 menerima suapan iaitu wang tunai masing-masing sebanyak RM7,000 dan RM1,000. Lans Koperal Mohd Azmie Majid @Majied, 29, Konstabel Mohamad Firdaus Abdullah, 24, dan Koperal Mohd Juhairy Jamaludin, 32, yang didakwa bersubahat bersama Koperal Mazlan Muhd Nor, menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 iaitu menerima suapan RM7,000 dan RM1,000. Keempat-empat mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Disember 2014, antara 2 hingga 4 pagi di Kedai Makan Sri Muadzam Ikan Bakar, Rompin, dan kira-kira 7.55 malam pada 22 Disember 2014 di Restoran Anjung D’café Rompin. Lans Koperal Mohd Hazly Tomiran, 29, dan Konstabel Mohd Hafizi Abdullah, 28, didakwa bersubahat bersama Koperal Mazlan Muhd Nor – di mana kedua-dua mereka menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a)(B) iaitu menerima suapan RM7,000. Pertuduhan ke atas mereka juga dibacakan bersama Seksyen 28 (1)(c) dan Seksyen 25 (3) Akta SPRM 2009 iaitu tidak melaporkan perlakuan rasuah Koperal Mazlan. Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan pada pukul 2 hingga 4 pagi, 18 Disember 2014 di Kedai Makan Sri Muadzam Ikan Bakar, Rompin. Kesemua tertuduh didakwa mengambil suapan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori bernombor pendaftaran WJF 7420, yang tidak mempunyai permit dan lesen membawa kayu getah. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin mewakili SPRM. Hakim membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. Kes ini akan disebut semula pada 3 September 2015. Tamat SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
6 OGOS 2015

Lampiran Tarikh
Enam Anggota Polis Hadapi Tuduhan Terima Rasuah, Tidak Lapor Kesalahan Rasuah 06/08/2015
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
48
Semalam
54
Minggu Ini
260
Bulan Ini
308

Keseluruhan
3429931