Seorang pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama seorang ahli perniagaan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, Kuala Lumpur atas tuduhan memalsukan invois kira-kira RM2 juta, tujuh tahun lalu. Tertuduh, Abdul Aziz Abdul Kadir, 51, yang merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Petroleum UTM dan Samad Sapari, 51, ahli perniagaan membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Rosbiahanim Ariffin. Kedua-duanya mengaku salah setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dan dipanggil untuk membela diri. Hakim menjatuhkan hukuman denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan, dengan jumlah keseluruhan denda RM150,000 setiap seorang. Kedua-dua mereka juga diarah membayar kos pendakwaan sebanyak RM5,000 bagi setiap seorang. Selain itu, Hakim Rosbiahanim mengarahkan tiga akaun atas nama PSC Innovation, Prima Sierra dan Saliz Technologies yang berjumlah RM234,993.51 juga dilucuthakkan di bawah Seksyen 40(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Pada Jun 2013, kedua-dua tertuduh didakwa dengan curang menggunakan dokumen palsu untuk memperdaya MTDC bagi menuntut dana daripada perbadanan itu antara Ogos 2009 hingga November 2010. Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua didapati memalsukan dokumen berbentuk invois membabitkan enam syarikat tempatan yang berlainan dengan nilai yang berbeza. Ia melibatkan 10 invois daripada Extra Basic Sdn. Bhd., dengan jumlah mencecah RM1.25 juta, manakala masing-masing dua invois palsu daripada Chuan Li Steel Construction (M) Sdn. Bhd., AJ Analytical Services & Trading dan Kurawah Fire System Sdn. Bhd., dan satu invois daripada Capin Pro Resources Sdn. Bhd. yang berjumlah RM853,000. Kedua-dua tertuduh turut didakwa menggunakan tiga invois palsu daripada Dysha Global Holdings Sdn. Bhd., dengan nilai RM120,000 dan satu invois daripada Capin Pro Resources Sdn. Bhd., berjumlah RM68,800. Perbuatan dengan niat bersama itu dilakukan di Pejabat Monitoring And Goverment Liaison, Malaysia Technology Corporation Sdn. Bhd., Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Azah Kasran.
Terdahulu, pertuduhan dibuat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 27 Jun 2013 dan dipindahkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Seorang lagi yang dituduh juga Mohamad Farhan pada dua tahun yang lalu telah mengaku bersalah di hadapan hakim sebelum ini.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
12 OGOS 2015

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
27
Semalam
50
Minggu Ini
278
Bulan Ini
687

Keseluruhan
3430310