‘Walk Stop Talk: Six Hours Quarter Million Messages’ Sebar Luas Mesej Cegah Rasuah Menerusi Warga Pendidik

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan program ‘Walk Stop Talk: Six Hours Quarter Million Messages’ bagi menyebar luas mesej pencegahan rasuah kepada masyarakat umum di seluruh negara secara serentak hari ini.

Seramai 1,000 peserta termasuk pegawai SPRM dan warga pendidik daripada 27 kampus IPGM akan bergerak serentak ke 262 lokasi seluruh negara bermula pukul 9.00 pagi sehingga 3.00 petang untuk bersemuka dengan masyarakat dan seterusnya mengedarkan 250,000 risalah yang mengandungi maklumat berkaitan antirasuah serta mendapatkan tandatangan mereka sebagai tanda menyokong inisiatif menentang rasuah.

Kejayaan pihak penganjur bagi mendapatkan suku juta tandatangan masyarakat menentang jenayah rasuah akan menjadi penanda aras bagi mendapatkan pengiktirafan The Malaysia Book of Records.

Majlis Perasmian Penutupan ‘Walk Stop Talk: Six Hours Quarter Million Messages’ disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sambil diiringi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Mohd. Shukri Abdull di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Program yang julung kali diadakan ini bertujuan mewujudkan kerjasama yang jitu antara SPRM dengan warga pendidik yang dilihat sebagai ejen penyampai mesej antirasuah yang paling berpengaruh.

Tidak dinafikan program ini berperanan melatih siswazah pendidik untuk mendekati masyarakat serta mendidik mereka supaya berkolaboratif dengan SPRM dalam menentang jenayah rasuah.

Turut hadir Menteri Wilayah, YB Khalid Abd. Samad; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil; Pengarah Sektor Hal Ehwal Pelajar & Hubungan Luar IPGM, Tengku Adli Raja Omar dan pegawai-pegawai kanan SPRM serta IPGM.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA &
INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA
KUALA LUMPUR
7 JULAI 2018

 ‘Walk Stop Talk: Six Hours Quarter Million Messages’ Sebar Luas Mesej Cegah Rasuah Menerusi Warga Pendidik PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
1
Semalam
47
Minggu Ini
1
Bulan Ini
737

Keseluruhan
3425893