SPRM Seru Kerjasama Semua Pihak Dalam Menyelesaikan Rasuah Melibatkan Isu Alam Sekitar

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru semua agensi penguatkuasaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar untuk terus bersama SPRM dengan menyalurkan maklumat serta membuat aduan bagi membanteras rasuah dan salah guna kuasa melibatkan alam sekitar.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, SPRM telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Environmental Protection Against Corruption Caucus (EPACC) bertujuan menjalin rangkaian kerjasama strategik dengan semua pihak dalam usaha perkongsian maklumat bagi memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah rasuah melibatkan isu-isu alam sekitar.

“Pada tahun 2017 Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM telah melaksanakan pemeriksaan berhubung sistem dan tatacara pengurusan ladang hutan di Semenanjung Malaysia bagi mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang boleh diperbaiki,”ujar Dzulkifli.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada bengkel “Pengurusan Ladang Hutan: Isu, Cabaran & Penyelesaian” melibatkan agensi-agensi yang mengendalikan pengurusan dan pembangunan ladang hutan di Semenanjung Malaysia dan NGO alam sekitar.

Bengkel selama dua hari bermula pada 12 Mac 2018 ini diadakan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA). Ia disertai hampir 100 orang peserta yang mewakili Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri, Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dan Persatuan Pelindung Khazanah.

Bengkel yang julung kali diadakan itu bertujuan membincangkan dan mengenalpasti isu serta permasalahan berkaitan pengurusan ladang hutan di Malaysia selain memberi gambaran sebenar terhadap isu pengurusan ladang hutan kepada NGO berkaitan alam sekitar.

Dzulkifli berkata, usaha membendung jenayah rasuah melibatkan alam sekitar tidak akan berhasil sekiranya ia tidak melibatkan kerjasama, kolaborasi dan sokongan padu semua pihak termasuk Jabatan Penguatkuasaan Alam Sekitar, NGO dan SPRM.

Sementara itu, cadangan penambahbaikan terhadap kelemahan-kelemahan berhubung pengurusan ladang hutan di Malaysia serta maklum balas daripada para peserta bengkel terhadap cadangan penambahbaikan yang disyorkan juga menjadi antara isu perbincangan bengkel ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Dato’ Roslan Ariffin; Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Puan Sri To’ Puan Datuk Shariffa Sabrina Syed Akil; Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (PERUN), Datuk Md Yusoff Md Zain; Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Dato’ Idris Zaharuddin dan pegawai-pegawai kanan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
PUTRAJAYA
12 MAC 2018

 SPRM Seru Kerjasama Semua Pihak Dalam Menyelesaikan Rasuah Melibatkan Isu Alam Sekitar PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
24
Semalam
47
Minggu Ini
24
Bulan Ini
987

Keseluruhan
3432150