Majlis Paluan Berundur Sempena Persaraan Dato' Sri Mohd Jamidan Abdullah

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menganjurkan Majlis Paluan Berundur sempena persaraan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme)SPRM, Dato' Sri Mohd Jamidan Abdullah.

Dato' Sri Mohd Jamidan bersara wajib sebagai penjawat awam pada usia 60 tahun selepas berkhidmat di Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan SPRM selama 35 tahun.

Beliau memulakan karier di BPR/SPRMsebagai Pegawai Siasatan Gred S3 di Perak pada 1983 dan telah memegang pelbagai jawatan penting sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

Antaranya, Ketua Cawangan Siasatan Ekonomi (1995-1997), Timbalan Pengarah Siasatan (1997-1998), Pengarah Bahagian Logistik (2000-2002), Pengarah SPRM Sarawak (2002-2003), Pengarah SPRM Johor (2004-2005), Pengarah SPRM Selangor (2006-2007), Pengarah Bahagian Perisikan (2007-2010), Pengarah Bahagian Operasi Khas (2010-2013), Pengarah Siasatan (2014-2015) dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya pada 2015.

SPRM merakamkan ucapan terima kasih atas usaha dan sumbangan bakti beliau sepanjang dalam perkhidmatan di BPR/SPRM termasuklah dalam penyempurnaan pembinaan kompleks baharu Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya dan pembangunan pejabat baharu SPRM Selangor.

Sementara itu, Dato' Jaafar Mahad, 58, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) yang baharumenggantikan Dato’ Sri Mohd Jamidan.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pemegang Sarjana Muda Sains, Universiti Malaya (UM).

Sebelum ini, Dato' Jaafar yang telah berkhidmat di BPR/SPRM selama 34 tahun, merupakan Ketua Pegawai Integriti di Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Pelantikan beliau berkuat kuasa mulai 23 Januari 2018.

Dalam pada itu, Razaliah Ab. Rahman, 55, pula dilantik sebagai Pengarah SPRM Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa mulai 1 Februari 2018 bagi menggantikan Dato' Han Chee Rull yang akan bersara wajib pada 1 Mac 2018.

Pelantikan Razaliah ini sebagai menyahut seruan kerajaan yang mengumumkan Tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita yang berhasrat melibatkan lebih ramai kaum wanita pada peringkat pengurusan atasan dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan berkanun.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
22 JANUARI 2018

 Majlis Paluan Berundur Sempena Persaraan Dato' Sri Mohd Jamidan Abdullah PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
2
Semalam
47
Minggu Ini
145
Bulan Ini
145

Keseluruhan
3438747