SAMBUTAN HARA 2017 CERMINKAN KOMITMEN BERTERUSAN SPRM BANTERAS RASUAH

Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2017 peringkat kebangsaan pada kali ini memberi fokus dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya rasuah serta memberi pendedahan berhubung HARA secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Putrajaya dan Perbadanan Putrajaya menganjurkan Program Larian dan Kayuhan Gerah Hari Antirasuah Antarabangsa (LANGKAH 2017) di Tapak Hot Air Balloon, Putrajaya, sempena HARA 2017.

Sambutan ini adalah rentetan daripada pengisytiharan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2003 yang memilih tanggal 9 Disember setiap tahun sebagai Hari Antirasuah Antarabangsa.

Ia juga disambut sebagai usaha yang mencerminkan komitmen berterusan Malaysia terutamanya kesungguhan SPRM dalam membanteras rasuah secara menyeluruh.

Sambutan HARA juga merupakan suatu platform yang berperanan mendekatkan masyarakat Malaysia dengan SPRM dalam memperoleh sokongan mereka selaras dengan dasar SPRM “Mesra Rakyat Digeruni Perasuah” bagi membanteras gejala rasuah dalam negara.

Aktiviti larian 5 kilometer dan kayuhan basikal sejauh 10 kilometer merupakan pengisian program pada sambutan tahun ini dengan tema "Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah.”

Penyertaan Program LANGKAH 2017 adalah terbuka kepada Sahabat Gerakan Revolusi Antirasuah (GERAH) berdaftar serta orang awam yang berminat. Penyertaan bagi acara larian dan kayuhan dikenakan bayaran RM30 dan akan dibekalkan dengan t-shirt HARA 2017, pingat serta sijil penyertaan.

Di samping itu, pelbagai aktiviti dan permainan menarik juga disediakan bagi kanak-kanak yang mengikuti ibu bapa ke sambutan ini.

Ruang Pameran GERAH dan SPRM juga disediakan kepada orang awam yang berminat untuk mendaftar sebagai Sahabat GERAH.

Sambutan HARA kali ini juga diharap akan menjadi wadah dan peluang kepada masyarakat untuk mengenali SPRM dengan lebih rapat serta mendapatkan penjelasan berhubung isu-isu rasuah.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
9 DISEMBER 2017

Sambutan HARA 2017 Cerminkan Komitmen Berterusan SPRM Banteras RasuahPDF

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
53
Semalam
48
Minggu Ini
53
Bulan Ini
1046

Keseluruhan
3427657