SPRM SERU WUJUDKAN PERSEKITARAN BEBAS ANCAMAN RASUAH DEMI KEAMANAN NEGARA

 

Bersempena Sambutan Hari Pahlawan yang diraikan pada 31 Julai ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad mewakili seluruh warga SPRM menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama memikul tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan negara kita dengan mewujudkan persekitaran bebas ancaman rasuah dan salah guna kuasa.

Rakyat perlu sedar bahawa keamanan yang wujud pada hari ini adalah hasil perjuangan dan keberanian perwira-perwira negara yang sanggup berkorban dan menggadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.

Harus diingatkan juga bahawa rasuah yang berlaku pada hari ini bukan lagi ancaman biasa kerana ia mampu menggugat kesejahteraan dan keselamatan rakyat jelata sehingga menyebabkan sesebuah negara yang stabil menjadi kucar-kacir.

Jika tidak ditangani secara holistik, ancaman rasuah dan salah guna kuasa yang kian menular ke semua peringkat masyarakat dikhuatiri bakal memusnahkan apa yang telah dikecapi negara selama ini.

Oleh yang demikian, rakyat perlu tampil membantu dan menyokong usaha-usaha SPRM dalam memerangi kelompok yang mengkhianati amanah tanpa memikirkan kepentingan negara dengan melakukan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Datuk Dzulkifli dan seluruh warga SPRM juga melahirkan rasa bangga dengan pengorbanan seluruh perajurit, anggota keselamatan dan para pesara yang telah mengadai nyawa demi negara ini dan mengucapkan selamat menyambut Hari Pahlawan 2017.

 

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
30 JULAI 2017

SPRM Seru Wujudkan Persekitaran Bebas Rasuah Demi Keamanan Negara PDF

Hit: 1526