SPRM Tuduh Bekas Leftenan Kolonel Dan Kapten TUDM Terima Rasuah RM600,000

 

Dua bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM600,000 dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Tertuduh, Leftenan Kolonel (B) Kamal Bahrin Nali, 47 dan Kapten (B) Fadzil Noor Alias, 38, didakwa menerima rasuah daripada pemilik syarikat kontraktor alat ganti pesawat melalui peguam syarikat tersebut sebagai upah membantu mendapatkan bayaran tertunggak bernilai lebih RM14 juta pada tahun 2011.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Kamal Bahrin dituduh menerima wang rasuah sebanyak RM600,000, manakala tertuduh kedua, Fadzil Noor dituduh bersubahat bersama tertuduh pertama menerima wang rasuah tersebut daripada pemilik syarikat yang sama dalam bentuk dua keping cek Affin Bank Berhad.

Kedua-dua mereka dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama iaitu hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan passport diserahkan kepada mahkamah serta tarikh perbicaraan ditetapkan pada 16 Jun 2017.

Bagi pihak SPRM, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh.

 

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA

22 MEI 2017

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
1
Semalam
51
Minggu Ini
52
Bulan Ini
936

Keseluruhan
3424565