Anak Muda Mahasiswa Perlu Sokong SPRM Dalam Usaha Memerangi Rasuah

 

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahukan sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi daripada anak muda mahasiswa kerana SPRM tidak seharusnya dibiarkan bersendirian tanpa sokongan dalam melaksanakan usaha-usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, untuk anak muda mahasiswa menjadi ejen perubah dan pendukung kepada perjuangan memerangi rasuah dan salah guna kuasa, golongan tersebut perlu mempunyai ilmu dan mampu berfikir secara matang serta efektif dalam gerak kerja mereka.

"Apabila SPRM diserang dan diugut, golongan anak muda mahasiswa perlu teguh berdiri bersama-sama kami untuk menggembleng tenaga, mengerah keringat dan berkongsi kudrat bagi menentang suara-suara munafik yang mengkritik SPRM.

"Inilah yang kita mahukan dan inilah yang kita dambakan daripada golongan muda mahasiswa bersama-sama SPRM untuk berjihad memerangi rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Perhimpunan Mahasiswa Anak Muda Memerangi Rasuah Dan Salah Guna Kuasa (PEMARAH) 2017 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan di sini hari ini.

Tambah Dzulkifli, anak muda mahasiswa juga perlu ikhlas dan tidak jemu untuk turun ke padang bagi menjelajah dan mendidik jiwa teman-teman seusia dan masyarakat agar tiada yang rebah dek bisikan dan godaan rasuah serta wang ringgit.

"Jika anak muda mahasiswa benar-benar ingin melihat kemungkaran dan kebobrokan rasuah ini diperangi habis-habisan serta dilenyapkan, maka sambutlah cabaran saya untuk berdiri bersama SPRM untuk gempur dan perangi bersama kemungkaran rasuah dan salah guna kuasa," ujar beliau.

Majlis yang berlangsung pada pukul 8.30 pagi itu dimulakan dengan persembahan teater bertajuk Genggam Tangan Kanan, Tangan Kiri Melipat Senjata diikuti dengan sesi perkongsian oleh wakil daripada Indonesia Corruption Watch, Tama Satrya Langkun berhubung isu rasuah di Indonesia.

Di samping diceriakan dengan aksi dan nyanyian para pelakon teater berkenaan, program itu turut dimeriahkan dengan persembahan muzikalisasi oleh Dato' Nash Lefthanded dan penyampaian sajak oleh Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin serta persembahan muzik akustik oleh Artisukma USIM.

Pada kemuncak program tersebut, acara yang disampaikan ialah Executive Talk oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM dan persembahan khas oleh Dzulkifli yang mendeklamasikan puisi bertajuk 'Demi Allah Akan Ku Jaga Integriti Ini'.

Program bertemakan 'Suara Pemimpin: Satu Revolusi Memerangi Rasuah' anjuran Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM dengan kerjasama USIM, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu disertai 3,000 peserta yang terdiri daripada golongan pemimpin dan bekas pemimpin pelajar di negara ini.

Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dato' Dr. Zulkiple Abd. Ghani dan wakil Kementerian Pendidikan Tinggi, Mardhiah Ismail Niza.

Bagi pihak SPRM, hadir bersama ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Dato' Seri Mohd. Jamidan Abdullah; Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Dato' Junipah Wandi; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Dato' Abdul Samat Kasah dan Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri.

 

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA

12 OGOS 2017

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
34
Semalam
48
Minggu Ini
82
Bulan Ini
884

Keseluruhan
3433617