Jaaffar.transformed 0Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, salah satu panel bebas yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan keputusan membatalkan arahan pertukaran membabitkan dua pegawai kanan SPRM ke Jabatan Perdana Menteri.

Pengerusinya, Tan Sri Johan Jaaffar percaya keputusan ini adalah tepat pada masanya dan sesuatu yang signifikan ke arah menangani isu persepsi bahawa pegawai SPRM telah diintimidasi dalam menjalankan tugas mereka.

Ia juga merupakan satu langkah positif ke arah mengembalikan keyakinan rakyat bahawa SPRM dan pegawai-pegawainya akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa halangan dan memenuhi tugas dan tanggungjawab dengan bebas, telus dan profesional seperti yang dikehendaki oleh Akta SPRM.

Panel juga menghargai kedua-dua Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal atas peranan mereka dalam membatalkan keputusan yang dibuat sebelum ini.

Panel berharap langkah ini akan meningkatkan lagi semangat pegawai-pegawai SPRM.

Selain itu, Panel juga percaya keputusan ini akan membantu membendung rasa tidak percaya dan sinis orang ramai terhadap kerajaan.

 

 

TAN SRI JOHAN JAAFFAR

PENGERUSI PANEL PERUNDINGAN DAN PENCEGAHAN RASUAH (PPPR)

10 OGOS 2015

Hit: 4952