UNIKL Komited Bantu SPRM Perangi Rasuah

UniKL Komited Bantu SPRM Perangi Rasuah

Kuala Lumpur, 23 Jul. - Warga Universiti Kuala Lumpur (UniKL) komited bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mewujudkan masyarakat yang berintegriti dan bebas daripada rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata pendidikan antirasuah merupakan tunjang kepada pembentukan masyarakat yang berasaskan integriti atau Integrity-based community.

"Proses memupuk budaya integriti dan benci rasuah mesti bermula dari rumah, kemudian di sekolah dan seterusnya institusi pendidikan tinggi", ujar beliau.

Tambah beliau, komitmen ini amatlah dihargai sebagai tanda kesungguhan UniKL untuk menanam nilai dan membentuk budaya menolak rasuah dalam kalangan warga kerja dan pelajar yang menuntut ilmu di UniKL.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kursus Integriti dan Rasuah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pelancaran Buku Modul Integriti dan Rasuah dan Pelancaran Laman Web Unit Integriti dan Governans (IGU) UniKL di Dewan Bestari, UniKL Kampus Kota.

Pelancaran kursus berasaskan integriti ini berlangsung secara serentak di 12 buah kampus UniKL seluruh negara.

Pengenalan kursus Integriti dan Rasuah di 12 kampus UniKL menjadikan secara keseluruhannya, 15 buah Institutusi Pengajian Tinggi yang menawarkan kursus ini di seluruh negara.

Sementara itu, UniKL juga menjadi universiti swasta yang terawal menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU).

Tujuan IGU adalah untuk memastikan semua kakitangan mengamalkan budaya kerja unggul dengan ciri-ciri moral dan etika yang kukuh. Inisiatif ini akan dapat membendung salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil; Ketua Pengarah MARA, Dato‘ Azhar Abdul Manaf; Pengerusi UniKL, Prof. Emeritus Datuk Dr. Sukiman Sarmani; Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, TPj Razim Mohd. Noor; Ketua Unit Integriti dan Governans UniKL, Tuan Abdul Latif Osman serta Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri.

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
26
Semalam
58
Minggu Ini
84
Bulan Ini
542

Keseluruhan
3442222