KP SPRM angkat sumpah

KUALA LUMPUR, 5 Mei - Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan berangkat ke majlis mengangkat sumpah pelantikan Datuk Seri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke-15 di Istana Negara, hari ini.

Pada 9 Mac lalu, Kebawah Duli Tuanku telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada 11 pagi.

Datuk Seri Azam melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Majlis angkat sumpah tersebut selaras dengan Seksyen 5 (7) Akta SPRM 2009 iaitu setiap Ketua Pesuruhjaya yang dilantik perlu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Datuk Seri Azam, 57, telah berkhidmat melebihi 35 tahun di SPRM dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato' Takiyuddin Hassan; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, TPj Mohd. Hafaz Nazar serta Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik dan Perhubungan Antarabangsa SPRM, PKPj Kamaruddin M. Ripin.

Warga SPRM mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ketua Pesuruhjaya atas istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia oleh YDP Agong.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
7
Semalam
48
Minggu Ini
246
Bulan Ini
246

Keseluruhan
3438848