Pembentukan Malaysia baharu bersih rasuah

 

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Pelbagai strategi dirancangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha melaksanakan pembentukan Malaysia baharu yang bersih rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Puan Latheefa Koya berkata, antaranya ialah menempatkan pegawai integriti di agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pelaksanaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009, pengisytiharan harta dalam kalangan ahli parlimen serta cadangan menempatkan pegawai integriti di pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Selain itu, katanya, polisi SPRM yang sedia ada turut ditambahbaik seperti pemakaian baju lokap dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam lokap dan bilik rakaman penyataan.

Perkara tersebut dibentangkan oleh beliau dalam forum bertajuk 'Governance Gone Wrong, Reforms Required' sempena Persidangan Integriti Nasional Bank Rakyat 2019 'Institutionalisation of Reforms in the New Malaysia’ di Menara Bank Rakyat, di sini hari ini.

Forum tersebut dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof serta Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso.

Turut diadakan dalam forum tersebut ialah Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh pegawai dan kakitangan Bank Rakyat sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil.

Sementara itu, Dr. Mahathir menegaskan bahawa tiada sesiapa yang boleh melanggar undang-undang sesuka hati terutama dalam jenayah berkaitan rasuah.

Jelas beliau, menghapuskan rasuah merupakan keutamaan kerajaan bagi memastikan jenayah tersebut dapat dikawal sekali gus mewujudkan sebuah negara yang berintegriti.

Hit: 103