BUTTERWORTH - Seorang bekas guru besar didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini, atas lapan pertuduhan pecah amanah sebanyak RM35,500 sejak 2015.

Chan Thye Choon, 61, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Wellesley di Georgetown bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut tujuh pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan jenayah pecah amanah berjumlah RM15,500 membabitkan bayaran sewa padang SK Wellesley di sebuah bank antara 10 November 2015 hingga 8 Disember 2016.

Bagi pertuduhan terakhir, Thye Choon didakwa melakukan pecah amanah melalui penerimaan empat cek berjumlah RM20,000 daripada Syarikat Visi Nusajaya Sdn Bhd membabitkan bayaran sewa padang antara 19 Januari hingga 7 Mac 2017 di sebuah bank di Georgetown.

Semua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun penjara dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut diberikan lapan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun penjara, serta sebatan, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Azhari kemudian menetapkan jaminan RM2,500 bagi setiap pertuduhan, selain perlu melapor diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan pada minggu pertama dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes akan disebut semula pada 28 Februari depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam bagi tertuduh.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
42
Semalam
49
Minggu Ini
188
Bulan Ini
1346

Keseluruhan
3434079