IPOH -  Seorang bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyeleweng dana sumbangan pembinaan surau berjumlah lebih RM350,000 dua tahun lalu.

Zulkifli Othman, 58, yang kini tidak bekerja didakwa melakukan perbuatan itu pada 21 Mac 2017 dan 14 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pertama, dia yang juga bekas Ketua Kampung Lambak, Cabang Lima dan Lubuk Salak yang diamanahkan ke atas sumbangan berjumlah lebih RM350,000 untuk pembinaan surau baharu di Kampung Kubu Tanjung Malim, didakwa mengeluarkan secara tunai wang sebanyak RM50,000 dari sumbangan itu untuk kegunaan peribadi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Bank Islam Malaysia Bhd cawangan Tanjung Malim pada 21 Mac 2017.

Bagi pertuduhan kedua, Zulkifle pada tarikh dan lokasi sama dituduh mengeluarkan wang sebanyak RM200,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank milik Jati Gemilang Resources bagi kegunaan diri sendiri.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh melakukan transaksi pemindahan wang berjumlah RM106,000 ke akaun bank milik Jati Gemilang Resources untuk kegunaan diri sendiri di lokasi sama pada 14 Mei 2018.

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin di hadapan Hakim, S Indera Nehru, manakala tertuduh diwakili peguam, Hisham Nazir.

Hakim Indera Nehru membenarkan jaminan RM30,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat pada setiap minggu pertama setiap bulan sehingga prosiding kes berkenaan selesai.

Mahkamah turut menetapkan 19 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan bagi pengurusan kes.

Terdahulu, Nurul Wahida memohon mahkamah menetapkan sebanyak RM50,000 sebagai jaminan terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi tertuduh selain memohon syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Bagaimanapun peguam tertuduh memohon mahkamah supaya menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan kerana tertuduh sudah tidak bekerja dan kini ditanggung anak-anaknya.

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
14
Semalam
53
Minggu Ini
163
Bulan Ini
412

Keseluruhan
3440468