program amar

BANTING, 24 Nov - Malaysia memerlukan mahasiswa yang bijak dan beradab bagi membina masa depan negara yang gemilang dan bermaruah.

Bakal pemimpin negara juga perlu terdiri daripada barisan individu berjiwa besar dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Penutupan Perasmian Konvensyen Angkatan Mahasiswa AntiRasuah (AMAR) kali ketujuh Tahun 2019 hari ini.

“Konvensyen AMAR bertujuan menghimpun dan membentuk jaringan hubungan dalam kalangan ahli-ahli AMAR seluruh negara”.

“Ia juga merupakan platform bagi ahli-ahli AMAR untuk berkongsi amalan terbaik berdasarkan pengalaman dari segi pelaksanaan program-program pencegahan rasuah yang dikendalikan di kampus masing-masing”, ujar Dato’ Shamshun.

AMAR sebelum ini dikenali sebagai Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) yang ditubuhkan pada tahun 2007 ekoran dapatan kajian Persepsi Awam Terhadap Rasuah 2002 yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati 30.5 peratus pelajar menyatakan sanggup menerima rasuah jika mereka mempunyai kuasa.

Pada 24 September 2018 SPR diberi wajah baharu setelah dijenamakan sebagai AMAR dengan tujuan memberi imej dan identiti tersendiri serta seragam di seluruh negara.

Seramai 95 mahasiswa yang merupakan ahli jawatankuasa tertinggi AMAR dari Universiti Awam, Universiti Swasta, Institut Pendidikan Guru dan Institut Pendidikan MARA seluruh negara telah menyertai Konvensyen AMAR kali ketujuh tahun 2019 yang diadakan di Impian Hotel Morib, Banting Selangor.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, TPj Tuan Ruslan Tuan Mat; Ketua Penolong Pengarah, Unit Integriti MARA, Mohd Faiross Mohd Aris; Wakil Timbalan Rektor Pusat Hal Ehwal Pelajar, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Salehuddin Abu Hassan; Pegawai-pegawai kanan SPRM dan MARA serta alumni Anti Corruption Student Force dan ahli-ahli AMAR.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
34
Semalam
53
Minggu Ini
299
Bulan Ini
347

Keseluruhan
3429970