MACA Nadi SPRM Lahirkan Modal Insan Berintegriti Tinggi Dan Berwibawa

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Shamshul Hariz Shamshul Bahril dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zon R1 Wangsa Maju, Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai juara bagi Pertandingan Pidato Antirasuah Peringkat Kebangsaan 2019.

Beliau telah berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 serta trofi, manakala naib johan bagi pertandingan tersebut, iaitu Adriana Sofea Mohd. Zabri dari SMK Shahbandaraya, Klang pula berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 berserta trofi dan Adlyn Sofea Mohd. Ariff Adika dari SMK Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur berjaya merangkul tempat ketiga dengan membawa pulang RM1,000 berserta trofi.

Pertandingan Pidato Antirasuah Peringkat Kebangsaan yang julung kali diadakan tersebut merupakan program anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Rakyat dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pertandingan yang melibatkan 13 buah sekolah dari seluruh negara ini merupakan anjuran Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas), SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, pertandingan tersebut adalah untuk melahirkan murid-murid yang berfikiran tajam, berkebolehan untuk menyampaikan idea dan memberi respon terhadap isu rasuah di Malaysia secara beretika dan sopan.

“Anak-anak didik ini merupakan aset penting kepada pembangunan dan hala tuju negara pada masa hadapan dan penentu jatuh bangunnya negara ini.

“Menyedari hakikat ini, SPRM mengambil tanggungjawab proaktif untuk menerapkan nilai antirasuah kepada murid-murid sekolah melalui pelbagai medium sejajar dengan kehendak Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang digariskan oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dalam anjakan 3: iaitu melahirkan rakyat yang menghayati nilai, jelas beliau.

Beliau juga yakin bahawa pengalaman dan penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum mampu membuka mata dan telinga mereka dalam menilai secara lebih kritikal dalam sesuatu situasi apabila menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi dan ke dunia luar nanti.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pertandingan Pidato Antirasuah Peringkat Kebangsaan 2019 di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Berkembar Bank Rakyat di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden Kanan Bank Rakyat, Tuan Hj. Saliman Zainal; Timbalan Pengarah Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian KPM Razuki A. Rahim serta Pengarah Bahagian PenMas SPRM, TPj Tuan Ruslan Tuan Mat.

 

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
30
Semalam
47
Minggu Ini
173
Bulan Ini
824

Keseluruhan
3427435