MACA Nadi SPRM Lahirkan Modal Insan Berintegriti Tinggi Dan Berwibawa

 

AYER KEROH 21 Sept. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mempergiatkan promosi bagi mendapatkan sokongan universiti atau kolej swasta untuk membuka lebih banyak Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) sebagai usaha menyebarkan mesej antirasuah dalam kalangan mahasiswa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Puan Latheefa Koya berkata, ketika ini sebanyak 113 AMAR telah ditubuhkan di seluruh negara meliputi universiti awam, swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pendidikan Mara (IPMa).

Beliau menjangkakan jumlah tersebut akan terus meningkat memandangkan usaha berterusan yang dijalankan oleh SPRM dan pihak universiti awam dan kolej swasta.

“Rasuah bukanlah perkara remeh atau enteng dalam masyarakat apatah lagi di dalam pembentukan sebuah negara yang berintegriti. Sejarah telah membuktikan bahawa sebuah tamadun yang gah juga boleh tumbang angkara jenayah rasuah yang berleluasa dalam masyarakat.

“Justeru, sokongan dan komitmen generasi baharu adalah dialu-alukan untuk bersama-sama SPRM memerangi rasuah. Marilah kita bersama-sama mempromosikan perkara ini kepada pengurusan tertinggi kolej masing-masing untuk turut menubuhkan AMAR dengan menghubungi Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KoMawAr) Zon Selatan 2019, di Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), di sini, semalam.

Konvensyen tersebut dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Adly Zahari.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil dan Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim.

Seramai 2,500 mahasiswa dari universiti awam, kolej swasta, IPG dan IPMa telah menyertai konvensyen terbabit.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan perasmian konvensyen tersebut, YAB Adly berkata, pihak universiti juga mempunyai peranan yang boleh dimainkan dalam kapasitinya sebagai institusi pendidikan tinggi sama ada awam atau swasta terhadap usaha memerangi rasuah di negara ini.

“Pemerkasaan kawalan dalaman universiti seperti melaksana inisiatif anti rasuah akan memudahkan proses perolehan universiti berjalan dengan lebih lancar, tahap kecekapan operasi meningkat sekali gus mengurangkan kos yang tidak perlu,” katanya.

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
5
Semalam
53
Minggu Ini
206
Bulan Ini
615

Keseluruhan
3430238