UTP Ungguli Pertandingan Debat Antirasuah Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM IPT 2019

 

SERDANG, 26 Ogos - Pasukan debat dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah dinobatkan sebagai juara bagi Pertandingan Debat Antirasuah Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2019.

Pasukan itu berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500, piala pusingan serta piala iringan manakala naib johan bagi pertandingan tersebut, iaitu pasukan debat dari Universiti Malaya (Team B) pula berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 beserta piala iringan.

Pertandingan Debat Antirasuah Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM IPT 2019 yang julung kali diadakan tersebut merupakan program anjuran SPRM, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM).

Pertandingan yang melibatkan 32 pasukan debat daripada 13 universiti awam, lima universiti swasta, empat institut pendidikan guru dan satu institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu berlangsung selama empat hari bermula dari 23 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, pertandingan tersebut merupakan medan ilmu dalam menjana pemikiran kritis tentang isu-isu rasuah dalam kalangan mahasiswa.

“Mahasiswa perlu menghayati konsep integriti dan antirasuah yang tinggi supaya mereka lebih bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.

"Tanggungjawab yang berteraskan keikhlasan dan kejujuran ini sudah pasti akan menghasilkan kejayaan dalam pembelajaran dan memastikan mereka menjadi pemimpin yang bersih pada masa akan datang, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pertandingan Debat Antirasuah Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM IPT 2019 di Panggung Percubaan, UPM, di sini, hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan statistik tangkapan SPRM tahun 2014 sehingga Julai 2019, sebanyak 53.3% iaitu 2,625 orang golongan belia yang berumur 40 tahun ke bawah telah ditangkap atas kesalahan rasuah dan jumlah angka tersebut amat membimbangkan kerana telah memberi gambaran jelas bahawa anak muda Malaysia berisiko untuk terlibat dengan jenayah rasuah.

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, TPj Tuan Ruslan Tuan Mat; Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, KPKPj Ismajuri Ismail; Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Alias Salim; Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, TPj Razaliah Ab. Rahman serta pegawai-pegawai SPRM dan UPM.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
1
Semalam
47
Minggu Ini
1
Bulan Ini
737

Keseluruhan
3425893