Empat cadangan SPRM bagi penambahbaikan CCC dipersetujui KPKT

PUTRAJAYA 8 Ogos - Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini telah bersetuju menerima empat cadangan penambahbaikan proses kerja pengeluaran Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bangunan dan pembinaan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menutup ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam proses pengeluaran perakuan tersebut.

Cadangan-cadangan yang dikemukakan menerusi Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan itu ialah peringatan tentang pelaksanaan subseksyen berkaitan, memperkasakan pemantauan oleh badan kawal selia, memantapkan tindakan penguatkuasaan dan menambahbaik sistem pengurusan aduan. Ia adalah hasil pemeriksaan susulan aduan berkaitan CCC yang telah dikeluarkan bagi sebuah projek perumahan di Bukit Jalil sedangkan mempunyai banyak kerosakan serta rumah yang belum siap sepenuhnya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, cadangan-cadangan yang dikemukakan ini diharap dapat membantu KPKT dalam melestarikan amalan tadbir urus yang baik serta peningkatan integriti dalam proses pengeluaran CCC.

"Di samping itu juga, SPRM akan membuat pemantauan terhadap status pelaksanaan cadangan-cadangan penambahbaikan yang dipersetujui ini secara berkala iaitu bagi tempoh tiga, enam dan 12 bulan," katanya pada sesi khidmat nasihat terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja berhubung pengeluaran CCC di KPKT di sini, hari ini.

Pada akhir sesi tersebut, Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Dato' Sri Haji Mohammad Mentek bersama Dato' Shamshun Baharin telah menandatangani laporan khidmat nasihat sebagai tanda persetujuan untuk pelaksanaan cadangan-cadangan tersebut.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kesejahteraan Bandar) KPKT, YBhg. Datuk Azhar Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, KPKT, YBhg. Dato' Noor-Ihsan Che Mat, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, KPKT, N.Jayaselan dan Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, YBhg. Datuk Abd Aziz Aban.

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
26
Semalam
48
Minggu Ini
325
Bulan Ini
1209

Keseluruhan
3424838