Jalankan Tugas Dengan Integriti Dan Bebas Demi Kepentingan Negeri Dan Rakyat

MELAKA, 2 Ogos - Pegawai-pegawai kanan kerajaan perlu menjalankan tugas dengan integriti dan ikhlas bagi memastikan negeri yang diterajui sentiasa bebas daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Puan Latheefa Koya berkata, golongan pemimpin perlu meningkatkan akauntabiliti dan integriti supaya kehidupan rakyat sentiasa terbela dan menikmati hak yang dimiliki mereka.

"Jika kita laksanakan tugas dengan mengaibkan integriti dan menggadaikan akauntabiliti, kita bukan sahaja akan dipersoalkan dan diambil tindakan malah akan dihisab di akhirat kelak.

"Perlu ingat, untuk membina sebuah negara seperti apa yang ada pada kita hari ini tidak semudah untuk meruntuhkannya, jangan sia-siakan apa yang ada pada hari ini dan sama-sama kita memerangi jenayah rasuah demi masa depan pewaris pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan pada Majlis Perasmian Program Melaka Tolak Rasuah Peringkat Negeri Melaka Sempena Tahun Melawat Melaka 2019.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari di Menara Taming Sari di sini, semalam.

Tambah beliau, SPRM berharap semua rakyat Melaka mendukung agenda memerangi rasuah bersama suruhanjaya ini bagi memastikan Melaka bebas daripada rasuah.

"Saya yakin program ini tidak berakhir di sini sebaliknya merupakan permulaan kepada agenda yang lebih besar kerana amanah SPRM amat berat dan hanya mampu disempurnakan dengan kerjasama seluruh rakyat Malaysia," ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Mansor Sudin; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, TPj Tuan Ruslan Tuan Mat; Pengarah SPRM Melaka, PKPj Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail dan pengarah-pengarah bahagian serta pegawai kanan SPRM.

Dalam pada itu, Adly ketika memberi ucapan pada majlis tersebut berkata, kesepaduan, kerjasama dan kebersamaan antara SPRM dan anggota masyarakat amat penting dalam memastikan usaha-usaha ke arah pencegahan rasuah dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

"Kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada usaha yang dijalankan SPRM untuk memastikan Melaka bebas daripada belenggu rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Program Melaka Tolak Rasuah Peringkat Negeri Melaka Sempena Tahun Melawat Melaka 2019 yang bertemakan "Rasuah Dihina, Maruah Dibina" tersebut bertujuan untuk menyemarakkan semangat antirasuah dalam kalangan masyarakat selain menyampaikan mesej pencegahan rasuah kepada masyarakat umum menerusi Digital Board, Menara Taming Sari, Bot River Cruise dan Bas Panaroma yang dilitupi dengan mesej antirasuah.

Pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk meraih sokongan dan kerjasama masyarakat untuk bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah di samping mengukuhkan tahap keyakinan serta kefahaman rakyat terhadap SPRM.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
25
Semalam
48
Minggu Ini
324
Bulan Ini
1208

Keseluruhan
3424837