Aplikasi Telefon Pintar Jadi Saluran Aduan Awam

PUTRAJAYA, 18 Julai - Orang awam kini boleh membuat sebarang aduan berhubung sistem penyampaian perkhidmatan awam oleh agensi-agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Aplikasi Telefon Pintar Respons Rakyat Generasi kedua atau dikenali sebagai Respons Rakyat (RR2.0).

Majlis pelancaran RR2.0 itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamed di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Aplikasi ini akan membantu orang awam mengemukakan aduan dan maklum balas kepada 460 agensi kerajaan yang terdiri dari 25 kementerian, 257 buah agensi kerajaan persekutuan, 13 pejabat setiausaha kerajaan negeri, 149 pihak berkuasa tempatan dan 16 buah syarikat utiliti dengan hanya menggunakan satu aplikasi telefon pintar.

RR2 ini adalah menggantikan Rakyat Responz (RR 1.0) yang telah dibangunkan oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) pada bulan Mei 2016.

Beberapa kelebihan aplikasi telefon pintar RR2 berbanding RR1 ialah keupayaan pengguna memuat naik video dan audio, sistem pesanan RR Messenger sebagai pemakluman atau notifikasi mesej baharu yang diterima, pengadu boleh mengikuti perkembangan kes dalam siasatan melalui telefon pintar dan kajian kepuasan pelanggan dapat dilaksanakan menerusi telefon pintar.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Puan Latheefa Koya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil serta ahli-ahli Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR).

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
39
Semalam
48
Minggu Ini
338
Bulan Ini
1222

Keseluruhan
3424851