SPRM Terengganu Terima Bangunan Pejabat Baharu

Kuala Terengganu, 15 Julai - Kompleks Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu yang baharu telah siap dibina sepenuhnya dan diserahkan kepada suruhanjaya itu hari ini.

Majlis penyerahan kompleks baharu itu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme SPRM), Dato’ Ja’afar Mahad.

Dato’ Ja’afar berkata, pembinaan Kompleks Pejabat SPRM Terengganu di Bukit Besar/Padang Hiliran, Kuala Terengganu itu melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM 38.08 juta dan ia dilaksanakan bertepatan dengan masa.

"Dengan adanya kelengkapan di bangunan baharu ini, ia dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada pegawai dan kakitangan SPRM Negeri Terengganu untuk melaksanakan tugas dengan cekap, berkesan dan lebih bermotivasi tinggi," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Bangunan yang didirikan dengan tanah berkeluasan 3.52 hektar itu mempunyai blok utama setinggi empat tingkat serta dua blok sayap kanan dan kiri setinggi tiga tingkat.

Kompleks baharu itu turut dilengkapi dengan kemudahan ruang pentadbiran operasi, pencegahan dan am, empat sel lokap, dua bilik Video Interviewing Room (VIR), bilik gerakan operasi, dewan serbaguna, gudang sita, surau, gimnasium serta kemudahan sokongan.

Dalam pada itu, Dato’ Ja’afar juga bersama pengarah-pengarah bahagian SPRM telah mengadakan lawatan kerja ke SPRM Terengganu.

Turut hadir Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Dato’ Hj. Idris Zaharudin; Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan SPRM, Dato’ Pauzan Ahmar; Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan, KPKPj Ahmad Sabri Mohamed;Pengarah Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan SPRM, Mohd. Kamal Husin; Pengarah SPRM Terengganu, KPKPj Mohd. Zaki Hassan; Timbalan Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM, PKPj Norliza Adenan; Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, PPj Azizi Abdul Latif; Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Bangunan, Ar. Zarul Azidin Badri; Timbalan Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu, Ir. Yusuf Abd. Ghani serta Pengarah Urusan Serada Realty Sdn. Bhd., Puan Sri Hajjah Nariah Muhamad.

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
1
Semalam
51
Minggu Ini
52
Bulan Ini
936

Keseluruhan
3424565