SPRM Sedia Kerjasama Bantu Kerajaan Negeri

KUCHING, 13 JULAI - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia bekerjasama dengan menawarkan khidmat nasihat dan satu sistem bagi kerajaan negeri Sarawak melaksanakan langkah perisytiharan harta terhadap 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Puan Latheefa Koya berkata perisytiharan harta adalah bertujuan memastikan urusan pentadbiran dan pengurusan yang lebih telus.

“Usul mewajibkan perisytiharan telah diluluskan di Parlimen, jadi kini SPRM akan ke setiap negeri, supaya mereka (negeri-negeri) juga mengambil prinsip ini dan menerima usul berkenaan untuk dilaksanakan di peringkat Dewan Undangan Negeri,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke atas Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut, Puan Latheefa berkata usaha Sarawak yang menempatkan seorang Pegawai Integriti di setiap jabatan dan agensi termasuk di Pejabat Ketua Menteri adalah satu langkah yang baik dan proses perisytiharan harta itu seharusnya merupakan kesinambungan dan langkah seterusnya daripada usaha berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Puan Latheefa juga telah mengadakan lawatan ke Pejabat SPRM Sarawak dan diberi taklimat berkaitan tugasan serta aktiviti oleh Pengarah SPRM Sarawak, TPj Razim Mohd Noor.

Turut hadir, Pegawai Khas Ketua Pesuruhjaya SPRM, KPKPj Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim dan pegawai-pegawai SPRM Sarawak.

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
5
Semalam
47
Minggu Ini
5
Bulan Ini
741

Keseluruhan
3425897