Semarak Pertiwiku Sambut KP SPRM Di Bumi Kenyalang

KUCHING, 13 JULAI - Lawatan kerja Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) YBhg. Puan Latheefa Koya ke Sarawak disambut meriah dengan persembahan teater muzikal berjudul ‘Semarak Pertiwiku’ di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang di sini, semalam.

Lebih menarik, persembahan teater bertemakan antirasuah yang penuh dengan elemen satira, patriotisme, dan komedi tersebut turut disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Pementasan ‘Semarak Pertiwiku’ adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung isu integriti dan rasuah, disamping menyuntik, menyemai dan menanam nilai-nilai murni integriti dalam diri, keluarga, masyarakat, negeri dan negara.

Teater tersebut mula dipentaskan pada 12 Julai sehingga 14 Julai ini merupakan anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION), Jabatan Ketua Menteri, dan dijayakan oleh SPRM Sarawak dengan kerjasama Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Ia mengisahkan kehidupan pekerja-pekerja di sebuah tapak pembinaan Menara Pertiwi yang bakal menjadi menara tertinggi di Bumi Kenyalang.

Pementasan teater tersebut melibatkan seramai 78 ahli produksi termasuk 24 pelakon yang terdiri daripada pelajar Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif dan pelatih Sijil Latihan Dual Nasional.

Teater ini turut dijayakan tujuh selebriti tanah air iaitu Azhan Rani, Sherie Merlis, Anding, Taufik Hanafi, Elya, Chopie Cakap dan Shah Kimin.

Turut hadir, Pengarah SPRM Sarawak, TPj Razim Mohd Noor, Pegawai Khas Ketua Pesuruhjaya SPRM, KPKPj Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim dan pegawai-pegawai SPRM Sarawak.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
5
Semalam
47
Minggu Ini
5
Bulan Ini
741

Keseluruhan
3425897