Lawatan KP ke SUK hasil gambaran positif  perangi rasuah di Kelantan

KOTA BHARU 11 Julai - Lawatan kerja Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Puan Latheefa Koya selama dua hari ke Kelantan sejak semalam telah menghasilkan gambaran positif bagi suruhanjaya ini menangani isu rasuah di negeri berkenaan.

Dalam lawatan tersebut, Puan Latheefa telah mengadakan kunjungan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan, Datuk Nazran Muhammad di pejabatnya, di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Menerusi perbincangan bersama SUK negeri itu, antara beberapa isu yang dibincangkan adalah, SPRM telah menawarkan agar kerajaan Kelantan melaksanakan pengisytiharan harta dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bersedia membantu untuk memberi taklimat berkaitan perkara tersebut.

Perkara tersebut selaras dengan langkah Kerajaan Persekutuan yang mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytihar harta bagi meningkatkan ketelusan dalam kalangan anggota pentadbiran.

Dalam pertemuan tersebut juga, beberapa perkara lain turut dibincangkan seperti penerapan nilai integriti dan antirasuah dalam kalangan pegawai baharu lantikan kerajaan negeri, isu-isu tempatan dan inisiatif pencegahan rasuah terutamanya Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).

Mengiringi Puan Latheefa dalam kunjungan hormat tersebut ialah Pengarah Dasar, Perancangan & Penyelidikan SPRM, TPj Dato’ Nor Azmi Karim; Pengarah Pengurusan Integriti Agensi SPRM, TPj Dato' Junipah Wandi, Pengarah Komunikasi Stretegik SPRM, KPKPj Ismajuri Ismail, Pengarah SPRM Kelantan, KPKPj Ramli Ismail dan Pegawai Khas Ketua Pesuruhjaya SPRM, KPKPj Hairuzam Mohmad Amin.

Dalam pada itu, beliau bersama pengarah-pengarah tersebut turut mengadakan lawatan kerja ke SPRM Kelantan dan berkenan merasmikan dewan baharu di Pejabat SPRM Kelantan yang diberi nama Dewan Puteri Saadong.

Beliau juga, buat kali pertamanya mempengerusikan Mesyuarat Pengarah-pengarah Bilangan 3, Tahun 2019 yang disertai oleh pengurusan tertinggi dan kesemua pengarah bahagian serta negeri SPRM.

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
16
Semalam
48
Minggu Ini
64
Bulan Ini
764

Keseluruhan
3422851