KUALA LUMPUR, 21 MEI - Kursus 'Anti-Corruption Training' yang berlangsung selama dua hari bermula semalam diharap mampu meningkatkan pemahaman para peserta terhadap usaha pencegahan rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di samping mengeratkan kerjasama dua hala antara SPRM dan Office of the National Anti-Corruption Commission (ONACC) Thailand.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata, kursus yang julung kali diadakan tersebut merupakan peluang yang baik bagi kedua-dua agensi untuk mencapai persefahaman selain memberi peluang kepada para peserta untuk menimba ilmu dan kemahiran baharu dalam memerangi jenayah rasuah.

"Memerangi rasuah bukan satu tugas yang mudah dan ia merupakan satu usaha bersepadu melibatkan semua pihak termasuk sektor awam dan swasta.

"Justeru, membanteras jenayah rasuah merupakan tanggungjawab penting bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, pada masa yang sama memastikan negara kita tidak terbantut dari segi pembangunan ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Kursus 'Anti-Corruption Training' untuk ONACC Thailand di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pesuruhjaya The National Anti-Corruption Commission (NACC) Thailand, Pol. Gen. Sathaporn Laothong; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato' Shamshun Baharin Mohd. Jamil; Pengarah MACA, Dato' Idris Zaharuddin dan pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai SPRM.

Seramai 48 peserta termasuk 10 delegasi telah menyertai kursus yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pemahaman mengenai keperluan serta persediaan untuk membanteras rasuah dengan lebih efisyen dalam kalangan pegawai ONACC. Pada masa yang sama, kursus tersebut juga meliputi aspek strategi pencegahan rasuah, pencegahan rasuah dalam perolehan, integriti, pengubahan wang haram, sistem pengisytiharan dan pemulihan aset di Malaysia.

 

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
5
Semalam
47
Minggu Ini
5
Bulan Ini
741

Keseluruhan
3425897