PUTRAJAYA, 17 MEI - Pematuhan kepada Malaysian Standard (MS) ISO 37001:2016 (Sistem Pengurusan Antirasuah) boleh dijadikan sebagai ukuran bagi sesebuah organisasi dalam melaksanakan sistem pencegahan rasuah secara efektif dan proaktif.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, MS ISO 37001:2016 dilaksanakan sebagai satu piawaian pencegahan rasuah kepada semua pihak khususnya organisasi komersial dalam persediaan menghadapi cabaran pelaksanaan peruntukan korporat liabiliti yang telah diluluskan oleh Parlimen.

"Sebagaimana yang kita sedia maklum, ISO 37001/MS ISO 37001 merupakan sistem kawalan dalaman sesebuah organisasi secara sukarela bagi mengesan, mencegah, mengendali, menguat kuasa, menilai dan menambah baik langkah pengurusan antirasuah secara berkesan.

"Pada masa yang sama, ia juga merupakan satu instrumen yang fleksibel dan dapat disesuaikan dengan risiko rasuah yang mungkin dihadapi oleh mana-mana organisasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan pada Majlis Perasmian Sesi Taklimat Pengenalan dan Pelaksanaan MS ISO 37001:2016 (Sistem Pengurusan Antirasuah) Kepada Ketua-ketua Unit Integriti Sektor Awam Siri 1 Tahun 2019 di Auditorium Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengarah Bahagian Operasi Khas, Dato' Bahri Mohamad Zin; Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP), Datuk Abd. Aziz Aban; pengarah-pengarah bahagian; ketua-ketua Unit Integriti serta pegawai-pegawai kanan SPRM.

Memperkenalkan Pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah MS ISO 37001 di semua agensi kerajaan merupakan salah satu inisiatif dalam Pelan Anti Rasuah Nasional yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 29 Januari lalu.

Dalam sesi taklimat tersebut, Timbalan Pengarah BPMP, KPKPj Salwa Muharam telah menyampaikan taklimat berhubung pengenalan MS ISO 37001:2016 manakala taklimat berkenaan pelaksanaan MS ISO 37001:2016 pula disampaikan oleh Pengarah Kanan Standardisasi, Jabatan Standard Malaysia, Tuan Shaharul Sadri Alwi.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
37
Semalam
47
Minggu Ini
84
Bulan Ini
1224

Keseluruhan
3421818