TERENGGANU, 20 April - Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil menyatakan bahawa mahasiswa dan belia merupakan pewaris kepemimpinan negara.

“Golongan mahasiswa merupakan aset penting kerana mereka adalah pewaris dan pelapis kepada kepimpinan negara pada masa hadapan.

Oleh yang demikian, kita perlu memastikan supaya golongan ini mampu menjadi benteng pertahanan negara pada masa kini dan akan datang,” ujarnya.

Malah, beliau juga berharap agar mahasiswa yang hadir pada hari ini terus komited untuk menjadi bakal pemimpin Malaysia baharu yang lebih holistik dan bukan sekadar cemerlang dalam pelajaran tetapi turut mempunyai prinsip diri seperti akhlak yang baik termasuklah menyatakan tidak terhadap perlakuan jijik jenayah rasuah.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KoMawAR) Zon Timur 2019 di sini, hari ini.

Perhimpunan yang diadakan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu disertai lebih 2,000 peserta pemimpin-pemimpin mahasiswa daripada universiti awam dan swasta yang terdapat di Zon Timur Semenanjung Malaysia seperti Terengganu, Kelantan serta Pahang.

KoMawAR adalah anjuran Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM dengan kerjasama UniSZA yang bertemakan “Mahasiswa Malaysia Baharu Tolak Rasuah”.

Program KoMawAR adalah sebagai satu penzahiran aspirasi pemimpin sebagai suara kekuatan kebebasan rakyat Malaysia yang mahukan negara bebas daripada jenayah rasuah.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, TPj Tuan Ruslan Tuan Mat; Pengarah SPRM Negeri Pahang, TPj Mohamad Fauzi Husin; Pengarah SPRM Negeri Terengganu, KPKPj Mohd. Zaki Hassan; Pengarah SPRM Negeri Kelantan, KPKPj Ramli Ismail serta Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal pelajar dan Alumni UniSZA,Profesor Madya Dr Mohd Afandi Salleh.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
10
Semalam
48
Minggu Ini
153
Bulan Ini
1141

Keseluruhan
3420165