Kuantan, 15 April - Usaha menandatangani dan melafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) merupakan satu tindakan berani oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (EXCO) yang diketuai oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy Wan Ismail dalam memastikan amanah yang dipikul dilaksanakan secara ikhlas, telus dan bersih daripada sebarang elemen rasuah, kata Timbalan  Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil.

Beliau berkata, tindakan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang dan semua ADUN menandatangani IBR ini jelas memperlihatkan keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif dan bebas rasuah demi menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.

“Menerusi inisiatif IBR ini juga, saya berharap agar SPRM dan Kerajaan Negeri Pahang akan terus meraih kepercayaan, keyakinan serta sokongan rakyat yang berterusan dan istiqamah dalam melaksanakan amanah serta memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Lafaz dan Menandatangani IBR bersama Kerajaan Negeri Pahang yang diadakan di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Dato’ Shamshun Baharin turut menekankan agar pengisytiharan harta dibuat oleh semua ahli politik kepada SPRM di mana maklumat tersebut akan dipaparkan di Portal SPRM untuk tatapan umum.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ADUN bagi memperkukuhkan lagi integriti dan ketelusan dalam melaksanakan tanggungjawab dicadangkan agar mengisytiharkan harta masing-masing kepada pihak SPRM yang bertujuan untuk mengelakkan persepsi negatif rakyat terhadap ahli politik,” katanya.

Seramai 67 orang kepimpinan kerajaan negeri Pahang yang diketuai oleh Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy Wan Ismail telah melafaz dan menandatangani IBR sambil disaksikan oleh Dato’ Shamshun Baharin.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Hj. Ishak Hj. Muhamad; Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato Sri Dr. Salehudin Ishak; Pengarah SPRM Pahang, TPj Mohamad Fauzi Husin, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang; ketua-ketua jabatan serta Pegawai-Pegawai Kanan SPRM Pahang.

 

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
16
Semalam
48
Minggu Ini
207
Bulan Ini
207

Keseluruhan
3438809