Pemimpin, Penjawat Awam Perlu Amanah Dan Jujur Dalam Melaksanakan Tugas

SHAH ALAM, 26 Mac - Para pemimpin serta penjawat awam perlu sentiasa menitikberatkan etika kerja berlandaskan nilai-nilai murni dan kejujuran semasa menjalankan tugas yang diamanahkan. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj bertitah, tiada erti kepada kemajuan sesebuah negara jika sikap pemimpin dan penjawat awam tidak amanah dan tidak jujur dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Beta ingin mengingatkan semua pemimpin dan penjawat awam supaya tidak sesekali terlibat atau mendekati segala perbuatan rasuah, termasuk penyalahgunaan kuasa demi kepentingan diri mahupun pihak-pihak tertentu semasa melaksanakan tugas. "Menjadi ahli politik atau penjawat awam bukan jalan untuk mengumpul kekayaan dan kita perlu ingat kembali sumpah jawatan yang telah diikrarkan untuk berkhidmat dengan amanah serta jujur kepada rakyat," titah baginda. Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato? Shamshun Baharin Mohd Jamil; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme); Dato? Ja'afar Mahad dan pegawai-pegawai SPRM bahagian dan negeri. Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato' Sri Mohd. Shukri Abdull berkata, rasuah diumpamakan seperti 'api dalam sekam' dan sekiranya dibiarkan, ia boleh menghakis keadilan nilai-nilai murni serta menggugat kesejahteraan sehingga membinasakan negeri serta negara.

"Menyedari hakikat ini, maka pendekatan baharu berteraskan slogan 'Rasuah Dihina, Maruah Dibina' telah diperkenalkan sempena sambutan Ulang Tahun ke-51 Penubuhan Badan Pencegah Rasuah Malaysia (BPR)/SPRM pada 1 Oktober 2018.

"Sebagai agensi tunggal yang mempunyai mandat undang-undang untuk mencegah rasuah, SPRM juga perlu kekal bebas dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh profesional dan telus bagi mewujudkan persekitaran masyarakat serta negara yang bebas daripada rasuah," ujar beliau.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
5
Semalam
47
Minggu Ini
5
Bulan Ini
741

Keseluruhan
3425897