Kikis Mentaliti Materialistik Elak Perbuatan Rasuah, Penyelewengan Dan Salah Guna Kuasa

ALOR SETAR, 25 Mac - Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan penjawat awam supaya mengikis mentaliti materialistik, suka jalan mudah dan keinginan untuk cepat kaya kerana ia boleh membawa kepada rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

Beliau berkata, selain daripada segala usaha, program dan peraturan untuk mengekang amalan rasuah dan salah guna kuasa, kesedaran juga merupakan perkara utama dalam mengatasi 'penyakit' itu. "Sejarah menunjukkan empayar-empayar Islam yang begitu gah serta agung jatuh dan musnah disebabkan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

"Oleh itu, semua pihak perlu melihat semula sistem dan nilai serta mempunyai kesedaran bahawa rasuah dan salah guna kuasa itu perlu dibenci kerana tanpa kesedaran ini, perbuatan jijik tersebut akan terus dilakukan tanpa rasa hina atau memandang hina kepada mereka yang melakukannya," katanya.

Tambahnya, ramai yang masih tidak sedar atau memilih untuk tidak ambil tahu betapa besarnya dosa perbuatan rasuah dan salah guna kuasa demi kepentingan diri.

"Seolah-olah integriti itu bukan tuntutan Islam sehingga mereka yang terlibat dengan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa tidak merasa malu apabila melakukannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Khas Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam majlis yang sama, seramai 11 Exco kerajaan negeri telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lafaz ikrar IBR tersebut diketuai oleh Menteri Besar Kedah, YAB Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan disaksikan oleh YAB Tun Dr. Mahathir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg Dato' Sri Mohd. Shukri Abdull dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), YBhg Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Hit: 557