SPRM Terengganu Lakar Sejarah Sebar Luas Mesej Antirasuah Di Pawagam

KUALA TERENGGANU, 23 MAC - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Terengganu (SPRM Terengganu), telah melangkah setapak ke hadapan dalam usaha-usaha menyebarluas mesej anti rasuah kepada masyarakat umum dengan menggunakan platform pawagam sebagai mekanisma baharu.

SPRM Terengganu dengan kerjasama Lotus Five Star (Malaysia) Sdn. Bhd (LFS) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Terengganu, akan menyampaikan mesej benci rasuah melalui tayangan video pendek yang akan dipaparkan di layar perak sebelum setiap tayangan filem di pawagam LFS Cinema Kuala Terengganu.

Inisiatif yang julung kali diadakan ini adalah untuk memupuk dan membudayakan nilai-nilai integriti dan membenci rasuah di kalangan masyarakat terutamanya  warga Terengganu yang menonton wayang di LFS Cinema Kuala Terengganu.

Selaras dengan dasar SPRM, ‘Rasuah Dihina Maruah Dibina ’  inisiatif ini  bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman fungsi dan bidang kuasa serta tugas SPRM kepada rakyat. Majlis Perasmian dan Pelancaran tayangan video pendek (PSA) anti rasuah anjuran SPRM Terengganu dengan kerjasama  LFS Cinema dan KDN yang berlangsung di Dewan Premier 2, Aras 7A LFS cinema Kuala Terengganu, dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Datuk Seri Azam ketika menyampaikan ucapan perasmian merakamkan penghargaan kepada LFS dan KDN kerana menyediakan ruang dan peluang kepada SPRM untuk melaksanakan fungsi untuk mendidik masyarakat menerusi mesej anti rasuah. “Apabila mesej anti rasuah dipaparkan di layar LFS nanti, ianya mampu memetik hati penonton untuk mereka sedar tentang wujudnya isu rasuah di Malaysia dan ianya bukan perkara remeh kerana penalti atau pun hukuman yang dikenakan bukan sedikit,” ujar beliau. Tambah beliau, tayangan mesej anti rasuah yang bakal ditayangkan di seluruh 14 pawagam LFS Cinema di seluruh Malaysia diharap dapat membantu menaikkan lagi imej positif LFS Cinema di mata masyarakat, terutamanya penonton-penontan yang hadir di pawagan LFS. Jumlah penonton yang mengunjungi pawagam LFS Cinema di seluruh negara bagi tahun 2018 adalah 2.6 juta orang dengan anggaran 220,000 orang setiap bulan, katanya.

“Masyarakat akan sedar, bahawa LFS seiring bersama-sama SPRM dan KDN komited dalam menyebarluaskan mesej pencegahan rasuah sekaligus melaksanakan Tanggungjawab Korporat (CSR) kepada masyarakat untuk sama-sama membenci rasuah,” jelas beliau. LFS Cinema Kuala Terengganu merupakan Rakan Strategik SPRM Terengganu pernah bersama-sama menjayakan program Jalan Jalan Tolak Rasuah 2018 (JJTR 2018) selain memaparkan video pendek (PSA) pada Digital Billboard yang terletak di kaunter tiket utamanya tanpa kos. Selain LFS Cinema, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Lembaga Filem Negara (FINAS) serta beberapa Rakan Strategik SPRM Terengganu turut dilibatkan bagi memenuhi objektif program yang berasaskan perkongsian bestari.

Turut hadir Pengarah LFS (Malaysia) Sdn. Bhd, Garuna Murthee; Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Mohd Hanafee Yusoff @ Harun; Pengarah SPRM Terengganu, KPKPj Mohd Zaki Hassan; Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan KDN Terengganu, Khairul Ismail dan Penolong Pengurus Kompleks Paya Bunga Sentral, Mohd Saiful Bahari Mat Lazim.

Hit: 474