SPRM dijadikan inspirasi oleh delegasi dari NIFM India

PUTRAJAYA, 21 Feb - National Institute of Financial Management (NIFM) India menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sumber inspirasi serta mengiktiraf SPRM sebagai sebuah agensi penguat kuasa yang efisien di Malaysia.

Faculty Associate Bahagian Perakaunan dan Kewangan NIFM, Dr. Anurag Bhadur Singh berkata, inisiatif-inisiatif yang diambil SPRM dalam membendung jenayah rasuah di Malaysia memberangsangkan.

“Rasuah bukanlah masalah yang membimbangkan negara-negara tertentu malah seluruh dunia terkesan dengan masalah rasuah yang berleluasa.”

“Rasuah terjadi disebabkan beberapa perkara terutamanya sistem yang tidak jelas dan telus, serta tidak dinafikan masalah rasuah yang berterusan akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan menghalang pembangunan sesebuah negara,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian, ketika memberi ucapan pada  sesi lawatan kerja sambil belajar oleh pegawai-pegawai NIFM di Bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 22, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Delegasi NIFM yang terdiri daripada 30 pegawai yang diketuai oleh Dr. Anurag tiba di Ibu Pejabat SPRM pada 11.20 pagi dan disambut oleh Ketua Cawangan Perhubungan Antarabangsa, Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan  SPRM PKPj Nadiah Azis.  

Dalam sesi lawatan kerja sambil belajar tersebut yang berlangsung selama 3 jam, ceramah mengenai ‘Overview and the Role of MACC’ serta ‘Corruption Risk Management’, disampaikan masing-masing oleh Timbalan Ketua Cawangan Perhubungan Antarabangsa, Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, PPj Premraj Victor dan Ketua Cawangan Pengurusan Risiko, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM,  PPj Mohd Hasraff Hashim.

Selain sesi berkongsi pengalaman dan peranan antara kedua-dua agensi, turut diadakan ialah sesi melawat bangunan SPRM berserta sesi fotografi.

Delegasi NIFM India ini dijangka akan meluangkan masa selama dua minggu di Malaysia untuk menjalani latihan.

Lawatan ke SPRM merupakan sebahagian daripada aturcara program delegasi tersebut sepanjang berada di Malaysia dan ia merupakan hasil kerjasama SPRM dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

 

 

 

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
5
Semalam
47
Minggu Ini
5
Bulan Ini
741

Keseluruhan
3425897