TUMPAT, 21 FEB. - Pemasangan papan iklan mesej antirasuah yang diletakkan di pintu utama sempadan Negeri Kelantan-Thailand dilihat mampu meningkatkan kesedaran orang awam dan penduduk setempat untuk melaporkan kes-kes rasuah yang berlaku di sempadan Malaysia dan Thailand.
 
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Ja'afar Mahad berkata, kempen membanteras rasuah wajar diadakan di sempadan pintu masuk kerana masyarakat perlu diberi maklumat mengenai bentuk dan aktiviti yang dikategorikan sebagai rasuah.
 
"Pemasangan papan iklan mesej antirasuah ini diletakkan di tiga pintu masuk utama Negeri Kelantan yang bersempadankan Thailand iaitu Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Bukit Bunga.
 
"Sehubungan itu, orang awam diingatkan supaya tidak menyogok pegawai penguat kuasa terutamanya melibatkan aktiviti haram seperti penyeludupan," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan pada Majlis Perasmian Papan Iklan Pencegahan Rasuah Dwi Bahasa (Malaysia-Thailand) di Kompleks ICQS, Pengkalan Kubor di sini, hari ini.
 
Hadir bersama ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat; Yang di-Pertua Majlis Daerah Tumpat, Rosnazli Amin; Pengarah SPRM Negeri Kelantan, Ramli Ismail dan Konsul Jeneral Thailand Kelantan, Mongkol Sinsomboon.
 
Inisiatif pemasangan papan iklan mesej antirasuah tersebut merupakan hasil kerjasama SPRM bersama Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan (NACC) Thailand bagi memastikan Malaysia dan Thailand bebas daripada belenggu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
 
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ustaz Wan Roslan dan disaksikan oleh Dato' Ja'afar serta pegawai dari pelbagai agensi penguat kuasa Malaysia dan Thailand.

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
6
Semalam
47
Minggu Ini
6
Bulan Ini
742

Keseluruhan
3425898