PUTRAJAYA, 14 Feb – Lebih kurang 80 orang Setiausaha Politik, Setiausaha Sulit Kanan, Setiausaha Sulit dan Setiausaha Akhbar dari Pejabat Menteri dan Timbalan Menteri telah menyertai Taklimat Khas anjuran SPRM hari ini.

Program yang berlangsung selama sehari ini memberi pendedahan kepada anggota pentadbiran mengenai pelbagai aspek antirasuah.

Antara tajuk yang dibentangkan ialah berkaitan Pelan Antirasuah Nasional oleh Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff dari Pusat Governans Integriti dan Antirasuah; Taklimat Pematuhan Terhadap Prosedur Kewangan oleh Tan Sri Dr. Madinah Mohamad, Ketua Audit Negara dan Taklimat Perisytiharan Harta oleh TPj Tuan Ruslan Tuan Mat, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM.

Pada sesi petang, peserta diberi taklimat mengenai kesalahan lazim di bawah Akta SPRM 2009 yang disampaikan oleh Datuk Izani Wan Ishak, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Mohd Shukri Abdull turut hadir bagi merasmikan majlis penutupan program ini.

Hit: 742