Perdana Menteri Lancar Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023

Putrajaya, 29 Jan. – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 sebagai salah satu inisiatif kerajaan dalam merealisasikan manifesto kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti di sini, hari ini.

Bertemakan ‘Memecah Rantaian Rasuah’, NACP merupakan pelan yang dibangunkan khusus untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Pelaksanaan pelan ini dibangunkan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain.

Pelan khusus ini dibangunkan bagi menetapkan sasaran yang praktikal berdasarkan inisiatif yang akan diambil oleh setiap agensi kerajaan dan swasta dalam menangani masalah rasuah, integriti serta tadbir urus untuk tempoh lima tahun akan datang.

Tun Dr Mahathir berkata pelan itu disediakan melalui satu proses yang mengambil kira aspirasi dan harapan rakyat Malaysia dalam perjalanan memerangi rasuah.

“Pelan anti rasuah nasional itu hadir sebagai peringatan dan amaran kepada semua pemimpin sekarang dan masa hadapan bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak menerima amalan rasuah dan ia satu amalan keji dan menjijikkan.

“Pelan itu adalah satu bukti bahawa tindakan yang diambil terhadap perasuah-perasuah yang lepas bukanlah satu tindakan berlandaskan dendam atau benci, ”ujar beliau.

NACP dibangunkan bagi menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan ia diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) pada 8 Jun lalu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar; Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Mohd Shukri Abdull, barisan menteri Kabinet, menteri-menteri besar serta ketua menteri.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
5
Semalam
47
Minggu Ini
5
Bulan Ini
741

Keseluruhan
3425897