PUTRAJAYA, 25 Jan – Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP), Ibu Pejabat telah melaksanakan pemeriksaan terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung amalan, sistem dan tatacara kerja yang melibatkan proses penilaian kerja JKR (perakuan spesifikasi projek) bagi semua projek RMK-10 yang bernilai RM5 juta ke atas.

Pemeriksaan yang bertempat di Ibu Pejabat JKR, Kuala Lumpur kelmarin dihadiri oleh pegawai-pegawai BPMP Ibu Pejabat SPRM iaitu Psk Raymond Nion John Timban, KPKPs Teoh Ting Keong serta PKPs Mahizan Hj. Musa manakala pegawai-pegawai JKR yang hadir adalah Ketua Bahagian Integriti JKR, Ir. Dr. Hannarieta Mohamad Zainal, Jurutera Awam Unit Pengurusan Prestasi Projek Tuan Hj. Roslan Abd Ghani dan Juruukur Bahan, Unit Amalan Terbaik Sr Anita Ibrahim.

Antara fokus pemeriksaan adalah berkaitan perlaksanaan Sistem Gerbang Nilai yang pada masa ini telahpun diimplementasi oleh pihak JKR Malaysia. Sistem Gerbang Nilai ini diadaptasikan dari Pejabat Perdagangan Kerajaan United Kingdom bagi pelaksanaan proses kerja secara berperingkat dan terperinci dalam sesuatu projek dalam memastikan pembinaan dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan dan memenuhi kualiti. 

Sebelum itu, Kementerian Kerja Raya telahpun menetapkan supaya semua projek di bawah RMK-10 dilaksanakan menggunakan proses Sistem Gerbang Nilai ini. Walaupun belum lagi dikuatkuasakan sepenuhnya, penambahbaikan sedang dibuat bagi memantapkan lagi Sistem ini. Satu garis panduan telah ditetapkan dan JKR sedang dalam proses mengeluarkan surat arahan pematuhan yang baru berhubung pelaksanaan projek menggunakan Sistem ini.

Di MELAKA, Unit Pemeriksaan dan Perundingan (UPMP), SPRM Melaka telah menjalankan Sesi Pra-Khidmat Nasihat berhubung pemeriksaan ke atas amalan, sistem dan tatacara kerja Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi Mekanisme Perlantikan Ahli Jawatankuasa Masjid Negeri Melaka.

Sesi yang dijalankan di Bilik Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM) kelmarin dihadiri oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Melaka PsK Ahmad Faizul Abdul Rashid, PKPs Marpuah Kastaman dan PPs Mohd Zulhairni Ibrahim serta Pengarah JAIM Tuan Md. Azhan Samat.

Sesi Pra-Khidmat Nasihat ini dilaksanakan untuk mendapatkan persetujuan dan maklumbalas daripada JAIM berhubung cadangan-cadangan penambahbaikan yang disyorkan oleh UPMP SPRM Melaka di samping mengetahui status terkini pelaksanaan JAIM berkaitan isu-isu pemeriksaan.

Antara isu-isu yang dibangkitkan adalah prosedur pelantikan Ahli Jawatankuasa Masjid, mengenalpasti amalan, sistem dan tatacara kerja MAIM dalam pelantikan AJK Masjid dan mengenalpasti sama ada terdapat ruang dan peluang berlakunya rasuah serta penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa di kalangan masyarakat qariah sesebuah kawasan.

Di PULAU PINANG pula, UPMP SPRM Pulau Pinang telah mengadakan Sesi Khidmat Nasihat di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Pulau Pinang berhubung Amalan Pengutipan Bayaran Kompaun oleh Pegawai Penyiasat KPDNKK di premis tetap Orang Kena Kompaun.

Sesi Khidmat Nasihat yang bertempat di Pejabat Pengarah KPDNKK Pulau Pinang kelmarin dihadiri oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Pulau Pinang Awgkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail, PPj Teh Chong Earn dan PPs Ahmad Effendi Zakariah serta Pengarah KPDNKK Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar.

Di KUALA LUMPUR, BPMP Ibu Pejabat SPRM telah menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) berkenaan amalan, sistem dan tatacara kerja berhubung pelaksanaan Program Latihan Kemahiran B40 (PLKB40) yang membuka ruang dan peluang rasuah dan salah guna kuasa.

Pemeriksaan lanjut yang bertempat di PWTC KL pada 23 Januari yang lalu dihadiri oleh PPj Rusmaini Mohd Jaafar, PsK Mohd Hamzah Abdullah, Ps Raihana Rahim selaku Pegawai Perunding dan PKPs Mohd Shahrizal Arshad manakala pegawai PTPK yang hadir adalah Pegawai Tadbir Bahagian Pinjaman Latihan Norizan Kamarudin, Pegawai Tadbir Bahagian Bayaran Balik Mek Eshah Awang, Akauntan PTPK Emiziliyana Baharudin, Juruaudit PTPK Suhailin Nor Asim serta Pegawai Undang-Undang PTPK Jamaiyah Osman.

Hasil perbincangan dan pemeriksaan lanjut yang diadakan telah mendapati sebanyak tujuh cadangan penambahbaikan yang disyorkan disokong dan dipersetujui oleh pegawai-pegawai kanan PTPK yang hadir untuk dikemukakan kepada pihak pengurusan tertinggi PTPK.

Antara syor penambahbaikan yang dikemukakan adalah pewujudan tatacara berhubung proses permohonan rayuan dan kelulusan rayuan yang jelas, keputusan rayuan dibuat secara jawatankuasa, pewujudan sistem permohonan bagi melaksanakan latihan atau kursus secara atas talian (online) bagi mengelakkan pemohon berurusan dengan pegawai PTPK secara bersemuka dan mengurangkan risiko berlakunya pakatan dan pewujudan Unit Integriti di PTPK.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
19
Semalam
53
Minggu Ini
220
Bulan Ini
629

Keseluruhan
3430252