SIRI JELAJAH PENERANGAN SEKSYEN 17A KESALAHAN OLEH ORGANISASI KOMERSIAL: FOKUS PERCAMBAHAN IDEA DAN PERBINCANGAN DENGAN PEGAWAI-PEGAWAI SPRM EMPAT NEGERI DI UTARA

 

Georgetown, 12 Mac - Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dengan kerjasama Jurucakap Seksyen 17A dan fasilitator yang dilantik semasa “Bengkel  Penerangan Seksyen Baharu 17A Kesalahan-Kesalahan oleh Organisasi Komersial: Langkah yang Mencukupi Serta Garis Panduan Menteri” pada 5 hingga 7 Mac 2019 lalu telah mengorak langkah memberi kesedaran dan pendedahan kepada pegawai-pegawai SPRM di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

 

Sesi penerangan selama 4 jam tersebut adalah bertujuan untuk memperkasakan pengetahuan dan memberi penerangan yang lebih jelas kepada Pegawai SPRM mengenai Seksyen 17A: Tatacara yang Mencukupi dan juga Garis Panduan Menteri. Penerangan ini juga diharap sedikit sebanyak mampu memberi nilai tambah kepada pegawai SPRM terutamanya ketika berhadapan masyarakat umum. Penerangan telah disampaikan oleh PKPj Hashimah Mohktar daripada Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan serta kepada seramai 126 orang pegawai SPRM daripada Unit Siasatan, Unit Perundangan dan Pendakwaan, Unit Pendidikan Masyarakat dan Unit Pemeriksaan dan Perundingan.

 

Antara topik yang diperjelaskan semasa siri jelajah kali pertama ini ialah tentang kepedulian organisasi komersial mengenai kewujudan Seksyen 17A serta kepentingan memberi kefahaman kepada warga kerja masing-masing agar mematuhi tatacara yang telah digariskan. Pengabaian terhadap seksyen 17A dengan alasan  ianya membebankan syarikat dan ketidakpedulian warganya terhadap seksyen 17A ini akan menyebabkan organisasi komersial berhadapan dengan tindakan undang-undang apabila ianya dikuatkuasakan mulai tahun 2020 kelak.

 

Pematuhan terhadap Seksyen 17A merupakan satu mekanisma “semak dan imbang” di antara organisasi komersial dan kakitangan yang bernaung di bawahnya dalam usaha untuk memperkasakan pelaksanaan undang-undang pencegahan rasuah. Di samping itu, perlu ditekankan bahawa Seksyen 17A juga merupakan kesalahan tambahan dan bukanlah pindaan kepada seksyen sedia ada dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009. Justeru, adalah menjadi satu keperluan untuk setiap organisasi Komersial untuk mengambil peduli dan meningkatkan pengetahuan tentang tatacara pelaksanaan yang telah digariskan dari semasa ke semasa.

 

Jelajah penerangan seterusnya akan di adakan di SPRM Johor bagi negeri-negeri di selatan tanah air pada 19 Mac 2019 diikuti Zon timur di SPRM Kelantan pada 2 April 2019 serta diikuti dengan SPRM Sarawak dan Sabah masing-masing pada 16 April dan 18 April 2019 yang merupakan penutup kepada siri jelajah penerangan Seksyen 17.A kepada pegawai-pegawai SPRM bagi tahun 2019.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
35
Semalam
47
Minggu Ini
82
Bulan Ini
1222

Keseluruhan
3421816