Berita Menarik

Adrain Jerome Karuna Devan Terima Watikah Pelantikan Ahli JKA SPRM

Putrajaya, 8 Mei - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki telah menyampaikan watikah pelantikan kepada Tuan Adrain Jerome Karuna Devan sebagai Ahli Jawatankuasa Aduan (JKA) yang baharu bagi tempoh selama tiga tahun bermula 1 Februari 2024 hingga 31 Januari 2027.

 

Majlis penyerahan watikah yang ditandatangani oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi; Pengerusi JKA, Dato’ (Dr) Asariah Mior Shaharuddin dan ahli JKA, Datuk Ruziati Mior Ahamad Ariffin diadakan di pejabat Ketua Pesuruhjaya SPRM di sini, hari ini.

 

Tuan Adrain Jerome Karuna Devan berkelulusan BA (Hons) International Relations Subsidiaries in Psychology and Environmental Protection & Pollution dari University of Keele, United Kingdom dan berpengalaman luas dalam aktiviti pencegahan jenayah sebagai Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kuala Lumpur.

 

JKA ketika ini dipengerusikan oleh Dato’ (Dr) Asariah dan ahlinya terdiri daripada Dato’ Dr Tam Weng Wah; Prof. Dato’ Noor Aziah Mohd Awal dan Datuk Ruziati.

 

Pelantikan JKA adalah selari dengan perundangan mengikut Seksyen 15 Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang fungsinya untuk memantau pengendalian SPRM tentang aduan salah laku pegawai SPRM yang tidak bersifat jenayah. 

 

JKA adalah salah satu daripada lima badan pemantau bebas iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan Panel Penilaian Operasi (PPO).

 

Turut hadir Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM, KPKPj Syed Mohd Termizi Syed Musa.


Hit : 282